fbpx
ROSMAN berharap atlet-atlet baharu memanfaatkan waktu muda sebaiknya dan membina reputasi besar dalam acara lumba basikal trek. – MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

Serlahkan, jangan simpan atlet pelapis berbakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sukan berbasikal di negara ini sememangnya mendapat perhatian daripada kerajaan sejak sekian lama kerana ia mempunyai potensi untuk mencapai kejayaan gemilang di peringkat antarabangsa.

Ia dibuktikan dengan kejayaan demi kejayaan atlet berbasikal negara seperti Datuk Azizulhasni Awang yang telah berjaya meraih pingat gangsa dan perak pada Sukan Olimpik.

Kolum Wawancara minggu membawakan salah seorang jaguh lumba basikal trek negara yang digelar sebagai The Turtle Head iaitu Rosman Alwi.

Beliau membicarakan soal harapan dan aspirasi negara untuk menggapai emas pada Sukan Olimpik, selain pengalamannya selama ini dalam sukan tersebut.
———————————————————————————————————————————————————————

SEJAK sekian lama, negara tidak pernah ketandusan melahirkan jaguh-jaguh dalam sukan lumba basikal terutamanya menerusi acara trek. Bermula dari zaman Allahyarham Daud Ibrahim dan Ng Joo Ngan sekitar tahun 1970-an sehinggalah ke era Josiah Ng serta Mohd. Rizal Tisin pada awal tahun 2000.

Kini, legasi tersebut diteruskan jaguh basikal trek negara iaitu Datuk Azizulhasni Awang yang telah berjaya meraih pingat gangsa dan perak pada Sukan Olimpik serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Hakikatnya, ramai melupakan sumbangan besar yang pernah diberikan oleh salah seorang jaguh lumba basikal trek negara yang digelar sebagai The Turtle Head iaitu Rosman Alwi.

Baktinya cukup besar apabila berjaya membawa pulang pingat emas buat negara dalam Sukan SEA 1985 dan 1987 selain pernah dinobatkan sebagai Juara Pecut Asia serta Olahragawan Negara.

Paling diingati adalah gaya old skool ditonjolkan oleh Rosman apabila turun beraksi menggunakan basikal besi atau digelar sebagai basikal tua berserta topi keledar bulat yang menyerupai kepala penyu.

Meskipun lawan menggunakan basikal lebih canggih dan ringan, namun ia bukan halangan buat Rosman untuk memberikan cabaran dalam setiap kejohanan atau temasya disertainya.

Selepas bersara daripada dunia lumba basikal pada usia 40 tahun, Rosman berpeluang berbakti di dalam Majlis Sukan Negara serta melatih pasukan lumba basikal trek Kedah.

Bagi mengupas lebih lanjut perjalanan karier serta masa depan sukan lumba basikal trek selain peluang Malaysia meraih pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024, wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Shazwan Yusop berkesempatan menemu bual Rosman Alwi di kediamannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Dinobatkan raja basikal trek terkemuka di rantau Asia pada era 1980-an dan 1990-an, apakah rahsia diamalkan saudara kerana dikhabarkan masih aktif berkayuh pada usia 40 tahun ketika ramai atlet seangkatan sudah bersara?

ROSMAN: Pada usia 40 tahun saya masih lagi bertanding dalam Sukan SEA yang ketika itu berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 2001.

Sebenarnya, tiada rahsia apa pun, ketika itu saya hanya ingin menyahut cabaran daripada orang-orang dalam Majlis Sukan Negara (MSN).

Mereka mahu saya buktikan yang saya masih mampu bersaing dalam arena lumba basikal trek pada usia melebihi 35 tahun. Ketika itu, rata-rata pelumba tempatan yang berusia 30 ke atas mesti akan bersara. Realitinya di luar negara seperti Australia dan Jepun, umur 47 tahun masih berkayuh dan mewakili negara.

Jadi, sebab itulah pada usia lanjut saya masih berkayuh. Kalau ikutkan umur 45 tahun pun masih ingin berkayuh, sebelum dinasihatkan untuk bersara.

Mulanya dikhabarkan saudara kurang minat menceburi sukan berbasikal secara serius dan lebih gemar bola sepak, badminton dan sebagainya. Apakah faktor saudara bertukar arah kepada sukan berbasikal sebagai karier utama?

Sebenarnya, bukan tidak berminat, tetapi sewaktu di sekolah dahulu saya aktif bermain bola sepak, badminton dan olahraga.

Seperti budak-budak kampung lain, masa terluang saya banyak dihabiskan dengan menunggang basikal bersama rakan-rakan.

Ketika itu, saya bermain basikal BMX dan fixie. Kebetulan bapa, Alwi Ahmad yang ketika itu merupakan jurulatih berbasikal kebangsaan mengajak saya berkayuh bersama pelumba-pelumbanya.

Selepas beberapa bulan, saya mula sertai pertandingan junior secara suka-suka. Tidak sangka pula saya boleh meraih kemenangan.

Selepas itu, saya mula syok dan serius dalam lumba basikal. Pada mulanya, saya main basikal lebuh raya dahulu, tetapi sekitar tahun 80-an doktor nasihatkan saya supaya beralih kepada perlumbaan jarak dekat. Ini kerana paru-paru saya ada sedikit masalah dan mudah semput apabila berkayuh terlalu lama. Alhamdulillah, perubahan itu membuatkan karier saya semakin menyinar.

Apakah perbezaan ketara atlet berbasikal trek sekarang dan dahulu? Adakah atlet sekarang mendapat lebih banyak kelebihan?

Saya dahulu semua cari sendiri termasuk basikal. Basikal yang saya guna untuk pertandingan itu frame sahaja baru RM800.
Topi keledar pun saya beli sendiri yang jenis Turtle Head itu. Atlet sekarang basikal semua sudah mahal-mahal.

Masuk saja MSN, sudah dapat basikal yang terbaik. Kadang-kadang saya terfikir juga, kalau saya guna basikal yang atlet sekarang dapat, mungkin prestasi saya jauh lebih baik. Dari aspek latihan pula, saya dahulu berlatih di dalam negara sahaja.

Hanya sekali-sekala MSN hantar saya berlatih di luar seperti Jerman selama beberapa bulan. Pelumba elit negara sekarang berpangkalan di Australia. Kalau yang berlatih di dalam negara pun sudah ada velodrom bertaraf dunia di Nilai, Negeri Sembilan.

Atlet sekarang juga semua aspek sains sukan dan pemakanan mereka dijaga rapi oleh pakar, kami dahulu semua buat sendiri dengan bertanya kepada atlet-atlet lain di luar negara.


AKSI Rosman yang pernah digelar The Turtle Head semasa bersaing dalam acara 200 meter pecut pada Kejohanan Berbasikal Dunia B di Velodrom Rakyat, Ipoh, Perak pada tahun 1997.

Malaysia boleh dikatakan agak unggul dalam sukan berbasikal trek berbanding negara-negara Asia Tenggara lain. Apakah pandangan saudara tentang prestasi sukan berbasikal trek negara pada masa ini?

Pada saya, prestasi pelumba basikal trek negara sudah sampai tahap Asia dan dunia. Kalau tahap Asia Tenggara ini cabaran itu sudah tidak ada kerana perbezaan tahap sangat ketara. Namun, saya berpendapat, bagi mengekalkan kejaguhan kita dalam arena ini, pihak MSN perlu memperbanyak pertandingan di dalam negara. Kalau di luar negara hampir, setiap minggu ada pertandingan.

Di sini, enam bulan sekali baru ada pertandingan. Sebenarnya, kalau berlatih sahaja tanpa pertandingan susah buat pelumba dan jurulatih mengenal pasti kekurangan. Jadi sebab itulah pelumba-pelumba elit negara seperti Azizulhasni memilih untuk berpangkalan di Australia.

Kalau banyak pertandingan di dalam negara, saya yakin pelumba-pelumba ini tidak akan berpangkalan di luar negara. Saya rasa kita tidak ada masalah menganjurkan pertandingan bertaraf Asia Tenggara dan Asia kerana negara miliki fasiliti terbaik.

Negara berbangga memiliki permata berbasikal trek bertaraf Olimpik iaitu Azizulhasni yang berjaya memenangi banyak pertandingan di peringkat antarabangsa dan sandaran emas negara pada Sukan Olimpik. Persoalannya, sudah adakah skuad pelapis berwibawa bagi menggantikannya satu hari nanti?

Pelumba pelapis kita ramai sebenarnya yang berbakat besar dan menunggu masa untuk ‘meletup’.

Masalahnya sekarang ini, mereka tidak didedahkan dengan latihan dan pertandingan di luar negara. Hanya dua atau tiga orang yang berpeluang berlatih dan berlumba di sana.

Sebenarnya, mereka ini kita jangan simpan, nanti susah hendak cari pengganti kepada pelumba elit sedia ada disebabkan jurang tahap yang terlalu ketara.

Pelumba wanita pun saya tengok ramai berbakat, tetapi prestasi mereka mendatar saja. Saya rasa sudah tiba masanya negara menambah baik sistem kejurulatihan sedia ada. Kalau cerita pasal pelapis ini, saya suka ambil contoh Jepun dan Korea Selatan.

Di sana, sudah ada akademi dan sekolah sukan khusus untuk lumba basikal. Jadi, tidak hairan mereka mampu melahirkan ramai pelumba berbakat.

Sebagai atlet yang pernah bertanding di Sukan Olimpik 1984 dan 1988, apakah harapan Malaysia untuk mendapat pingat emas melalui acara berbasikal di Sukan Olimpik Paris akan tercapai?

Ketika ini, ramai mengharapkan pingat emas pertama Sukan Olimpik dapat dijelmakan oleh Azizulhasni di Paris, Perancis kelak.

Melihat kepada keadaan Azizulhasni ketika ini, saya tidak pasti beliau mampu untuk melunaskan harapan seluruh rakyat Malaysia itu.

Saya tidak tahu sejauh mana seriusnya masalah jantung dialami oleh beliau ketika ini. Namun, apabila berkaitan jantung biasanya ia serius dan prestasi semasa sedikit sebanyak akan terjejas.

Apabila difikir balik, sumbangan diberikan Azizulhasni sudah cukup besar kepada negara. Jadi, sudah sampai masanya harapan emas Olimpik digalas pula pelumba-pelumba muda. MSN perlu segera beri pendedahan peringkat tertinggi kepada pelumba muda. Saya tegaskan, jangan simpan lagi pelumba-pelumba ini.

Menurut Rosman, pelumba pelapis negara ini ramai yang berbakat besar dan menunggu masa untuk ‘meletup’.

Adakah sukan berbasikal trek negara akan malap dan haruskah kita menekan ‘butang panik’ setelah Azizulhasni disahkan alami masalah jantung baru-baru ini?

Ya, sudah pasti seluruh rakyat Malaysia panik ketika ini apabila melihat situasi yang berlaku kepada jaguh acara keirin negara. Kita hanya boleh berdoa ketika ini supaya Azizulhasni dapat sembuh seperti sedia kala dan kembali beraksi buat negara.

Saya yakin dengan semangat besar dimiliki, beliau mampu kembali secepat mungkin selepas menjalani pembedahan jantung di Australia baru-baru ini. Pada masa sama, beliau juga harus memikirkan kesihatan dan keselamatan nyawanya juga.

Apakah nasihat saudara buat atlet muda yang ingin serius dalam sukan berbasikal?

Tidak banyak nasihat yang boleh saya berikan. Saya berharap mereka dapat memanfaatkan segala peluang dan kemudahan disediakan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan.

Saya juga harap mereka manfaatkan masa muda sebaik mungkin bagi meningkatkan prestasi dan membina reputasi besar dalam acara lumba basikal trek. Sukan sekarang kerjaya yang boleh menjana pendapatan lumayan.

Bagi acara lebuh raya, saya rasa sudah tiba masanya negara hantar beberapa pelumba berpotensi berpangkalan di Eropah seperti dilakukan kepada acara trek.

Kalau tidak mampu, boleh berlatih di dalam negara, namun sertai perlumbaan di luar negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN