SETELAH tamat persekolahan, ditakdirkan Farah (bukan nama sebenar) dapat menyambung pelajaran ke universiti dengan seorang rakan lelaki Zul (bukan nama sebenar).
Kata Farah, disebabkan dapat menyambung pelajaran di universiti yang sama, hubungan mereka menjadi semakin rapat dan akhirnya menjalin hubungan cinta di kampus.
“Ketika di zaman persekolahan, kami jarang bertegur sapa.
“Sebaik tamat pengajian, mereka memilih untuk mengakhiri zaman bujang dan melangsungkan perkahwinan,” katanya.
Selepas mendirikan rumah tangga, rezeki mereka semakin murah dan mendapat pekerjaan dalam sektor awam.
Setelah hampir 13 tahun berkahwin, kehidupan mereka cukup bahagia dengan dikurniakan sepasang cahaya mata.
Namun, kebahagiaan dan kesetiaan yang dikecapi akhirnya bergoncang jua selepas majlis perjumpaan semula (reunion) yang menghimpunkan bekas pelajar sekolah mereka.
“Ketika reunion itu, suami saya kembali bertemu dengan wanita yang dia pernah suka ketika zaman persekolahan.
“Tidak dapat dinafikan, wanita itu memang cantik dan penampilannya yang paling menonjol sewaktu perjumpaan tersebut,” kata Farah.
Tambahnya, pada masa itu, baru mereka mengetahui bahawa wanita tersebut berstatus janda.
Farah perasan, suaminya sering memandang wanita tersebut seolah-olah memendam rindu sejak sekian lama.
Sewaktu pulang, mereka bergaduh kecil di dalam kereta kerana perkara itu dan Farah berasakan suaminya masih menaruh perasaan kepada wanita tersebut.
Zul bagaimanapun menafikan hal tersebut.
Selepas reunion itu, Farah mendapati suaminya mula menunjukkan perubahan dan sering dengan telefon pintar seperti sedang berbual dengan seseorang, tetapi apabila Farah memeriksa telefon pintar Zul, dia tidak jumpa apa-apa yang mencurigakan.
“Sehinggalah suatu hari suami saya menyatakan bahawa dia perlu bekerja ke luar kawasan untuk tempoh lima hari.
“Saya tidak menaruh apa-apa syak kerana dia sering bekerja di luar kawasan,” jelasnya.

Bagaimanapun, tembelang suaminya terbongkar jua selepas seorang rakan memberitahu Farah bahawa suaminya pergi ke Thailand untuk melangsungkan perkahwinan dengan janda berkenaan.
Luluh hatinya apabila menerima perkhabaran tersebut dan bagi mendapatkan kepastian dia meminta penjelasan daripada suaminya.
“Pada mulanya Zul menafikan perkara itu, namun saya telah menghubungi wanita tersebut dan dia sendiri mengakui telah berkahwin dengan Zul,” ujarnya.
Farah ternyata begitu kecewa apabila diperlakukan sedemikian rupa oleh suami dan rakannya sendiri.
Jika diikutkan perasaan, Farah ingin meminta dilepaskan kerana dia tidak rela berkongsi kasih dengan wanita lain, namun dia cuba bertahan demi anak-anak.
“Selepas beberapa ketika, suami saya dilihat tidak berlaku adil dengan melebihkan isteri baharunya itu dalam banyak hal,” jelasnya.
Akhirnya, Farah mengambil keputusan untuk berpisah dan memohon dilepaskan.
Pada mulanya suaminya tidak mahu berbuat demikian, tetapi Farah tegas dengan keputusannya.
“Saya meminta dia membuat pilihan sama ada melepaskan saya atau isteri baharunya itu.
“Akhirnya dia mengambil keputusan untuk melepaskan saya. Saya yakin boleh hidup dengan anak-anak tanpanya kerana saya juga mempunyai kerjaya dan mampu untuk menampung kehidupan setelah berpisah,” jelasnya.
Kini Farah menyatakan dia bahagia dengan kehidupannya dan telah melangsungkan perkahwinan dengan seorang rakan sekerjanya yang masih bujang.
















