fbpx

Buli: Pelajar tingkatan satu cedera dipukul senior

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan pelajar tingkatan satu yang menjadi mangsa dera seniornya di sebuah sekolah di Sikamat, Seremban.

SEREMBAN – Seorang bapa kecewa dengan pihak pengurusan sebuah sekolah menengah di Sikamat di sini yang seolah-olah mahu membela nasib pelajar senior yang dipercayai membuli anaknya sehingga mengalami kecederaan di badan baru-baru ini.

Zainizam Wakimun, 45, berkata, anaknya yang merupakan pelajar tingkatan satu sebuah sekolah projek sukan itu dipukul dan disepak sehingga mengalami lebam di badan dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam, 13 Mei lalu.

“Anak saya menjadi mangsa buli dan pukul, semasa kejadian dia telah dipanggil oleh seorang pelajar tingkatan lima yang berperanan seperti ketua yang meminta anak masuk ke sebuah bilik asrama lelaki.

“Anak kemudian dipukul di badan dan disepak oleh tiga orang pelajar tingkatan empat dan seorang pelajar tingkatan tiga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurut Zainizam, akibat kejadian tersebut, anaknya mengalami lebam, sakit di bahagian badan, pinggul, tangan dan bahu selain baru disahkan mengalami retak di pergelangan tangan.

“Pada mulanya anak tidak mahu cerita kejadian sebenar, mukanya kelihatan takut dan trauma selepas saya dan isterinya datang ke sekolah untuk berjumpa pengetua.

“Perjumpaan telah diadakan bersama pengetua dalam bilik dan kecederaan yang dialami anak telah ditunjukkan dan mereka juga kelihatan terkejut,” katanya yang memberitahu anaknya telah membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

Zainizam berkata, susulan kejadian itu satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sikamat pada 13 Mei lalu dan lima orang pelajar senior telah ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu memukul sehingga mendatangkan kecederaan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI