fbpx

Hairul Azreen bukan angkat bakul sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAIRUL AZREEN

MEMAINKAN peranan sebagai Feroz dalam filem The Assistant garapan pengarah berkaliber, Adrian Teh, Hairul atau nama sebenarnya, Hairul Azreen Idris percaya bahawa semakin hari, impiannya untuk mengecap status sebagai pelakon aksi semakin menjadi realiti.

Hairul, 34, berkata, dia menerima dengan hati yang terbuka segala pujian termasuk kritikan dalam filem aksi terbaharu berkenaan. Dia juga berbesar hati jika naskhah tersebut bersambung untuk edisi kedua.

THE ASSISTANT mula menemui penonton di pawagam bermula esok, 19 Mei 2022.

Kendatipun begitu, semuanya tergantung kepada pihak produksi dan sambutan audiens terhadap filem yang akan menemui audiens secara rasmi, 19 Mei ini (esok).

“Ramai juga yang bertanya sama ada The Assistant akan ada sekuel. Saya sendiri tak tahu nak cakap macam mana. Sekarang ini, dari segi kutipan panggung pun belum tahu bagaimana.

“Saya harap semua orang suka filem ini. Kalau mendapat sambutan yang hebat dari segi kutipan, insya-Allah akan ada sambungannya.

“Kalau ada rezeki filem ‘meletup’, pasti akan ada sekuel,” katanya kepada HibGlam.

KALAU ada rezeki melakonkan watak bukan selain peranan aksi, Hairul Azreen juga bersedia untuk menjayakan mana-mana tawaran yang bersesuaian dengan sayap seninya.

Pujian

Ditanya tentang pujian ramai tentang kualiti lakonannya sebagai Feroz dalam The Assistant, bukan berniat untuk angkat bakul sendiri, Hairul bagaimanapun berkata, dia sudah melakukan sehabis baik.

Sekarang, terpulang kepada penerimaan para penonton.

“Saya dah tengok filem itu banyak kali. Dalam lebih 20 kali saya dah tengok filem The Assistant. Jadi, perasaan yang saya dapat adalah apabila waktu filem tamat bila nak keluar panggung, ramai jumpa saya dan cakap ‘Feroz gila’, terbaik dan ramai yang puji lakonan saya.

“Ini merupakan percubaan pertama saya memainkan watak lain daripada apa yang pernah saya jayakan.

“Jadi, saya sangat bersyukur dapat respons yang baik,” ujarnya.

Hairul ditemui usai malam gala filem yang turut dibintangi Iedil Dzuhrie, Henley Hii dan Farali Khan itu di ibu negara, baru-baru ini.

The Assistant juga terpilih mewakili Malaysia apabila disenarai pendek untuk bersaing dalam Far East Film Festival (FEFF) Ke-24 di Udine, Itali pada 22 April lalu.

Sebagai pelakon utama filem berkenaan, Hairul sendiri terkesan dengan penghargaan dan sokongan orang terhadap kualiti filem tempatan.

TIDAK menghalang isterinya, Hanis Zalikha untuk kembali aktif berkecimpung dalam dunia lakonan, Hairul sebenarnya menyerahkan perkara tersebut sepenuhnya kepada Hanis untuk membuat keputusan.

Festival

“Dalam festival filem luar negara, karya yang ditayangkan lebih bersifat ‘art’ atau ‘deep’. Kebanyakan jalan cerita agak perlahan. Cerita kami pula begini dan mereka mungkin berasa puas hati.

“Apabila kami keluar (dari panggung), mereka sampai kejar dan cakap, ‘cerita anda bagus’.

“Respons daripada mereka semuanya baik. Watak Feroz satu perkara yang saya tak pernah dapat dalam mana-mana filem lakonan sebelum ini. Bahkan, ramai yang kata lakonan saya bagus. Alhamdulillah, untuk semua itu,” ujarnya.

Filem The Assistant menelan belanja RM6 juta dan merupakan hasil kerjasama Sony Pictures Entertainment Malaysia dan Act 2 Pictures.

Ditebak tentang permainan karakter, terutama gaya gelak atau ketawa Feroz yang begitu menonjol dalam The Assistant, jawab Hairul, dia mendapat inspirasi daripada beberapa pelakon hebat Hollywood, termasuk Brad Pitt.

“Gelak itu asalnya saya cipta sendiri tapi asalnya saya tengok lakonan Brad Pitt dalam filem Fight Club. Gelak aktor itu lain tapi saya tak malu mengakui dapat inspirasi daripada situ.

“Kalau Brad Pitt ketawa dengan perlahan, Feroz yang dijayakan saya sedikit laju (cara gelak). Jadi, bila saya buat di set penggambaran, ketawa sebegitu jadi macam satu ‘habit’.

“Pengarah tengok, dia pun suka dan minta saya teruskan cara gelak sebegitu.

“Saya pernah cerita, dahulu penghayatan watak Feroz pernah sampai ikut saya balik rumah.

“Saya balik rumah, Hanis (isteri) pula tegur yang gaya gelak saya macam satu karakter dalam siri Money Heist iaitu Denver.

“Tapi, demi Allah saya tak tiru Denver tapi lepas saya dah tengok Money Heist baru saya tahu ada sedikit persamaan. Kalau kata nak tiru gelak, saya tiru Brad Pitt,” ujarnya.

KETIKA berkunjung ke Itali baru-baru ini, Hairul mendedahkan turut menerima ‘lamaran’ untuk beberapa projek, namun perihal tersebut masih lagi dalam proses perbincangan awal.

Batu loncatan

Ditanya tentang realiti dirinya kian bergerak ke hadapan sebagai pelakon aksi, Hairul mengakui semakin hari, cita-citanya semakin serius.

“Saya cuma berharap filem The Assistant akan menjadi satu lagi batu loncatan untuk saya pergi ke peringkat antarabangsa, insya-Allah,” ujarnya ringkas.

Mengulas tentang karakter Feroz yang ‘hidup’ dalam diri Zafik (lakonan Iedil Putra), Hairul tidak menafikan bahawa penyakit bipolar semakin mengganas dan wujud dalam kalangan masyarakat.

Masalah tersebut juga memerlukan perhatian ramai.

“Saya tak pernah jumpa orang yang sakit bipolar. Mungkin kita ada jumpa kadang-kadang tapi kita tak perasan.

“Kadang-kadang, kita tengok seseorang itu jalani kehidupan seperti orang biasa tapi sebenarnya dari segi mental, dia berdepan masalah kecelaruan identiti atau emosi,” ujarnya menggulung perbualan.

LEBIH selesa dikenali sebagai pelakon aksi, Hairul tidak kisah dengan situasi berkenaan dan menganggapnya sebagai satu cabang rezeki dalam bidang lakonan yang perlu disyukuri.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI