TUBUH kurus wanita itu dilihat seperti terapung di awang-awangan ketika langkah kakinya laju berlari di atas tanah.
Biarpun menggunakan kudrat satu kaki dan satu kaki prostetik atau palsu, namun wanita berusia 46 tahun ini berjaya memahat nama dalam Guinness World Records selepas beliau berjaya menyempurnakan 104 larian maraton dalam masa 104 hari berturut-turut.
Rekod itu dicipta dengan melakukan larian maraton anjuran dirinya sendiri, selain menyertai pelbagai acara maraton termasuk perlumbaan para olahraga yang sukar, Boston Marathon yang disertainya pada hari ke-92.
Berlari sejauh 2,734 batu (4,400 kilometer) sejak pertengahan Januari lalu, pemilik nama Jacky Hunt-Broersma ini kebiasaannya mengambil masa kira-kira lima jam untuk menghabiskan setiap satu sesi larian.
Pencapaian wanita kelahiran Afrika Selatan itu menyebabkan dirinya pantas menjadi sensasi internet di seluruh pelosok dunia. Rata-rata netizen kagum dengan semangat dan kisah hidupnya memandangkan dia bukan sahaja menggunakan kaki prostetik, bahkan sebenarnya berjinak-jinak dengan dunia maraton hanya selepas kakinya dipotong akibat kanser.
“Ini merupakan satu perjalanan yang begitu mengagumkan.
“Ketika kehilangan sebelah kaki, dunia saya terasa begitu gelap. Lebih-lebih lagi apabila dimomokkan dengan pelbagai keterbatasan pergerakan sebagai individu cacat.
“Sehingga ke satu tahap saya berasa sangat penat kerana sering kali dipandang tidak berupaya melakukan apa-apa dan terpaksa memaksa diri untuk melakukan sesuatu.
“Bagaimanapun, sebaik didedahkan dengan dunia larian maraton, saya mulakannya sedikit demi sedikit sehinggalah akhirnya berjaya menyempurnakan misi larian maraton 104 larian dalam masa 104 hari ini,” kongsinya kepada BBC sehari selepas menamatkan misi tersebut di kediamannya di Arizona, Amerika Syarikat (AS).
Sebelum ini, rekod Guinness World Records bagi wanita melakukan larian maraton paling banyak secara berturut-turut dipegang oleh pelari normal, Alyssa Amos Clark dari Vermont, AS dengan jumlah 95 larian sebagai strateginya menangani pandemik.

Justeru, ibu kepada dua orang cahaya mata ini mula berlari dan mencipta rekod baharu dengan memastikan dirinya membuat larian maraton setiap hari.
Bukan sekadar di trek larian biasa, malah Jacky menyertai acara maraton terkenal dunia, Maraton Boston di Massachusetts dan Lost Dutchman di Arizona.
Pun begitu, disebabkan maraton tersebut tidak dijadualkan setiap hari, jadi dia mengambil keputusan untuk turut berlari di laluan trek tempatan, laluan kejiranan dan juga treadmill sendiri di rumah.
Bagaimanapun, sebaik mengetahui pelari normal Britain, Kate Jayden baru-baru ini berjaya mengatasi rekod yang dicipta Alyssa iaitu dengan melengkapkan 101 larian, Jacky terus menewaskannya dan melakukan beberapa larian maraton terakhir pada April lalu.
Menurut Jacky lagi, dia begitu gembira kerana berjaya melakukan larian tersebut biarpun dalam keadaan dirinya yang serba kekurangan.
Ujarnya, setiap kali berputus asa, dia sering mengingatkan dirinya untuk meneruskan larian sehingga ke garisan penamat.
“Secara keseluruhan, saya telah melakukan sebanyak 104 maraton dan kini sedang dalam sesi pemulihan daripada sebarang kecederaan.
“Setelah hampir tiga bulan lebih di atas trek jalanan, saya berasa pelik kerana akhirnya dapat cuti berehat di rumah. Ini merupakan satu momen luar biasa yang tidak akan dilupakan.
“Apapun, saya amat bersyukur kerana dengan larian ini jugalah saya mampu mengembalikan semula keyakinan diri,” jelasnya.
Dibesarkan di Afrika Selatan dan kini menetap di AS, wanita ini disahkan menghidap penyakit Sarkoma Ewing, sejenis kanser tulang yang jarang ditemukan pada tahun 2002 ketika berusia 26 tahun.
Keadaan tersebut menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong pada tahun yang sama dan sejak itu dia menggunakan kaki prostetik.
“Semuanya berlalu begitu pantas.
“Untuk beberapa tahun pertama, saya terpaksa bergelut dengan perubahan besar dalam hidup dan berasa sangat marah ditakdirkan menghidap kanser.
“Saya malu menjadi individu yang berbeza dan terpaksa memakai seluar panjang di khalayak ramai supaya orang ramai tidak menyedari kaki prostetik yang tersarung,” katanya.

Hampir tewas dengan perasaan kecewa yang membelenggu diri, dia mula berlari pada tahun 2016.
Pada mulanya, Jacky sekadar menjadi tukang sorak buat suaminya yang sering mengikuti acara larian jarak jauh dan tidak pernah menyangka akan melakukannya sendiri memandangkan Jacky sebelum ini sering menyifatkan berlari adalah perbuatan individu yang sudah hilang akal.
“Saya selalu fikir, pelari-pelari itu gila, entah kenapa mereka melakukannya, tetapi apabila saya kehilangan kaki, orang mula mengatakan saya tidak boleh buat itu dan ini. Saya fikir, mengapa tidak boleh?
“Walaupun saya bukan pelari sebelum ini, tiba-tiba muncul satu semangat baharu untuk saya melakukan apa saja yang orang lain boleh lakukan. Saya menjadi lebih degil dan kecewa bila orang kata saya tidak boleh melakukannya,” kata Jacky.
Dia kemudian telah membeli prostetik khas bagi pelari jarak jauh dan mendaftar untuk larian 10 kilometer pertamanya. Sejak dari saat itu, bermulalah lembaran baharu dalam kamus hidup Jacky sebagai pelari maraton.
“Saya suka memaksa diri dan melihat sejauh mana saya boleh melakukan satu-satu perkara,” tambahnya.
Lantaran itu, pada awal tahun lalu, Jacky berazam untuk melakukan misi larian maraton berturut-turut itu.
“Larian merupakan permainan mental, tetapi ia juga boleh mencederakan fizikal.
“Saya perlu memakai pelapik dan stoking peluh pada bilah prostetik,” katanya.
Bagaimanapun, menariknya wanita ini kekal bebas daripada kecederaan tubuh sepanjang dirinya merekodkan maraton tersebut.
Mendokumentasikan lariannya di media sosial, Jacky telah mengumpulkan lebih AS$88,000 (RM385,000) untuk Amputee Blade Runners, sebuah organisasi bukan kerajaan yang menyediakan bilah prostetik larian kepada orang yang diamputasi.
“Berlari telah menunjukkan kepada saya betapa kuatnya badan saya. Saya boleh lakukan perkara sukar,” ujarnya.














