PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan AirAsia supaya tidak lagi mengulangi isu kelewatan penerbangan terutama menjelang Hari Wesak dan Hari Gawai akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau akan terus menjaga hak pengguna dalam isu ini serta memastikan isu berkenaan tidak berulang pada masa depan.
Beliau berkata, isu membabitkan operasi penerbangan pula akan diseliakan mengikut bidang kuasa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Saya ingin tegaskan bahawa isu kebajikan pengguna (penumpang) tidak lagi terjejas menjelang beberapa cuti umum yg akan datang dan paling hampir ketika ini ialah Hari Wesak dan Hari Gawai,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Berhubung isu kelewatan penerbangan baru-baru ini, Alexander berkata, AirAsia mengemukakan empat punca utama yang menyumbang kepada kelewatan, penangguhan dan penjadualan semula penerbangan membabitkan pelbagai destinasi.
Katanya, AirAsia menjelaskan mereka berdepan jumlah pesawat yang terhad dan ketika ini hanya menggunakan 40 pesawat berbanding 95 pesawat sebelum ini susulan kekurangan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) di rantau ini. -KOSMO! ONLINE