fbpx

Tiada kena mengena dengan ‘content’ – Iqbal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Iqbal menafikan tujuan dirinya mengambil anak angkat disebabkan content semata-mata.

PETALING JAYA – Kesal niat baik mengambil anak angkat disalah erti dan didakwa netizen sekadar memenuhi kandungan media sosial semata-mata, usahawan dan penyanyi kontroversi Iqbal Rosli tampil menangkis telahan keji demikian.

Iqbal atau nama sebenarnya Ahmad Iqbal Zulkefli, 28, berkata, mengambil anak angkat bukan perkara main-main dan dia sudah berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan memikul tanggungjawab besar tersebut.

“Kalau ada yang kata saya sengaja ambil anak untuk buat content, mereka kena rasa sendiri bagaimana susahnya menjaga anak kecil.

“Memang tidak ada masa nak rakam video dan muat naik dalam media sosial. Saya juga sedar bukan tugas mudah jadi seorang bapa.

“Apabila sudah bergelar bapa, saya menjadi seorang yang lebih matang dan kehidupan baharu ini mengajar saya erti kesabaran dan tanggungjawab yang sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Hujan itu berkata, dia langsung tiada niat untuk memisahkan bayi terbabit dengan ibu kandungnya berikutan masih lagi menyusu badan.

“Saya pun ada akal fikiran dan hati perut. Saya tiada niat nak pisahkan mereka buat masa ini. Kasihan juga ibu itu menangis apabila anaknya diambil orang.

“Jadi ada beberapa hari saya akan hantar semula Ahmad Ziyad kepada ibunya untuk disusukan. Kalau dah besar nanti, dia nak bersama ibunya kembali pun tidak mengapa, saya okey,” katanya.

Terdahulu, Iqbal berkongsi sebuah video dalam Instagram memaparkan niat murninya mengambil seorang anak angkat lelaki pada 30 April lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI