fbpx
Gambar terbaharu Muhammad Al Muizz bersama ahli keluarga ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini

Remaja hilang selepas solat subuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang selepas menunaikan solat subuh di di Masjid Al Muqarrabin, Cheras pada Ahad lalu.

Kehilangan Muhammad Al Muizz Al Mawardi, 16, sejak tiga hari lalu masih menjadi misteri dan mencetuskan kebimbangan ibu bapanya.

Difahamkan, jarak antara masjid lokasi mangsa menunaikan solat dan rumahnya di apartmen Tasik Height hanyalah kira-kira sejauh 20 meter.

Bapa remaja berkenaan, Almawardi Mohamad, 41, ketika dihubungi Kosmo! berkata, anaknya ada memaklumkan ingin keluar beraya selepas selesai menunaikan solat di masjid.

“Kejadian berlaku selepas kami sekeluarga baru pulang dari kampung saya di Jasin, Melaka pada Sabtu lalu, dia ada memaklumkan kami sekeluarga untuk pergi beraya bersama rakan-rakannya di sekitar kawasan rumah sebaik sahaja menunaikan solat subuh di masjid pada keesokan hari.

“Kami sepatutnya menghantar Muhammad Al Muizz pulang semula ke asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya pada petang Ahad lalu untuk memulakan sesi persekolahan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.

“Saya juga ada bertanya kepada rakan sepejabat yang kebetulan menunaikan solat di masjid sama. Dia memberitahu anak saya bersolat disebelahnya sebelum tidak mengetahui keberadaannya selepas keluar dari masjid,” kata bapa kepada tiga anak berkenaan.

Katanya, kehilangan anaknya itu merupakan kejadian pertama berlaku dan Muhammad Al Muizz juga tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik atau memberontak sebelum kejadian.

“Dia anak yang sangat baik sentiasa patuh dan tidak pernah melawan atau mempunyai musuh dengan sesiapa. Hati saya sangat berat dan bersedih dengan kejadian ini.

“Saya juga cuba untuk menghubunginya sejak Ahad lalu namun masih tidak terjawab sedangkan sebelum ini setiap kali dihubungi, dia pasti akan menjawab atau sekurang-kurangnya membalas menerusi WhatsApp,” jelasnya.

Tambah Almawardi, dia bersama isteri, Nuraliana Alias, 38, telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi semalam kira-kira pukul 6.56 pagi.

“Setakat ini, polis telah memeriksa televisyen litar tertutup (CCTV) di masjid dan kawasan sekitar bagi mengesan anak saya. Saya juga difahamkan rondaan juga sedang dilakukan.

“Saya menyeru kepada orang ramai untuk menghubungi pihak polis atau ahli keluarganya sekiranya melihat Muhammad Al Muizz. Saya sekeluarga sangat sedih dengan keadaan ini dan sangat berharap dapat anak saya ditemui dengan selamat secepat mungkin,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzham Jaafar berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima laporan yang dibuat dan sedang giat mengesan mangsa.

Terdahulu, berita kehilangan Muhammad Al Muizz tular di media sosial sejak beberapa hari lalu dan orang ramai juga mendoakan agar remaja berkenaan ditemui dengan selamat. – KOSMO! ONLINE.

POPULAR