SELAMA ini, mungkin ada dalam kalangan kita pernah mendengar kisah seram yang menegakkan bulu roma mengenai hantu yang menyerupai seseorang terutama pada malam hari.
Itu juga yang berlaku kepada seorang gadis bernama Sha (bukan nama sebenar) yang dikejutkan dengan jelmaan hantu menyerupainya ibunya sendiri.
Sha memberitahu, kejadian itu berlaku ketika dia tinggal berseorangan di dalam rumahnya sambil menyiapkan kerja sekolahnya beberapa tahun lalu. Ibunya pada waktu itu keluar membeli makanan dan belum pulang ke rumah.
Ketika jarum jam menunjukkan pukul 11.15 malam, remaja yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia itu begitu leka menyiapkan nota dan kerja sekolah sehinggalah dia terdengar pintu rumahnya dibuka.
Susuk tubuh ibunya kelihatan memasuki kediaman milik mereka itu dan Sha bingkas bangun untuk menegur ibunya.
“Lazimnya, ibu akan membawa pulang lauk atau apa-apa makanan dan kami akan makan bersama-sama. Namun, pada hari itu, ibu hanya diam membisu seribu bahasa selepas ditanya sama ada dia mahu makan atau adakah dia membawa pulang lauk untuk makan malam kami,” katanya.
Sha kemudian memanaskan nasi dan sedikit lauk sedia ada di rumah sambil cuba berbual dengan ibunya. Namun, ibunya masih kaku dan hanya merenung ke arahnya sambil tersenyum.
Ketika itu, dia mula rasa seram sejuk, namun memujuk dirinya perkara itu hanyalah mainan perasaannya.
“Saya rasa kelakuan ibu agak aneh, namun enggan terlalu memikirkannya dan terus memanaskan lauk,” ujarnya.
Tidak lama selepas itu, Sha mendengar pintu rumahnya sekali lagi dibuka dan kelihatan kelibat ibunya masuk sambil membawa lauk. Ibunya meletakkan makanan di atas meja berhampiran pintu rumah sambil berteriak ke arah
Sha supaya memanaskan lauk itu sebelum bergegas ke biliknya untuk mandi.
Ketika itu, muka Sha pusat lesi apabila melihat ibunya berjalan masuk ke bilik.
“Eh ibu. Habis siapa yang balik tadi?” tanyanya dengan nada amat perlahan, pada masa sama gadis itu berasa tubuhnya lembik akibat dikuasai ketakutan.
Apa yang lebih menyeramkan, wanita yang menyerupai ibu Sha masih duduk di ruang tamu kediamannya sambil merenung ke arahnya.
Dengan tersenyum sinis, ‘wanita’ menyerupai ibunya itu berkata: “Sudah tahukah?” sambil berjalan mendekati Sha.
Sha yang ketakutan segera berlari ke luar rumah dan cuba menenangkan diri. Nafasnya terasa pendek apabila mengenangkan insiden yang baru sahaja berlaku itu.
Wanita itu kemudiannya hilang dari rumah dan Sha memaklumkan hal itu kepada ibunya.
“Saya tidak akan sesekali melupakan kejadian itu kerana ia amat menyeramkan.
“Saya tak pernah menyangka akan diganggu hantu yang menyerupai ibu saya sendiri. Seram sejuk tubuh saya dibuatnya,” jelasnya.






