fbpx

‘Inilah lebaran yang ditunggu-tunggu’ – Anuar Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANUAR ZAIN

BERLALULAH sudah Ramadan sebulan berpuasa, tiba syawal kita rayakan dengan rasa gembira.”

Pasti bait-bait lirik lagu raya malar segar nyanyian penyanyi tersohor Anuar Zain sewaktu zaman remaja itu antara yang digemari ramai saat tibanya Syawal saban tahun.

Masakan tidak, lagu yang sudah berusia hampir 40 tahun dan dirakamkan sekitar 1984 itu masih relevan dan lunak didengari halwa telinga tanpa jemu.

Tanpa kita sedar, pemilik asal suara lagu hit tersebut juga sudah menginjak usia 52 tahun.

Bagaimanapun, usia hanyalah satu angka dan bukanlah pengukur atau satu keutamaan. Meskipun sudah melangkau separuh abad, Anuar Zain tetap punyai keutuhan tersendiri. Pada masa sama, pekertinya cukup terpuji.

ANWAR mengakui lebaran tahun ini antara yang dinanti-nanti dan bermakna baginya setelah dua tahun nikmat bahagia tersebut diragut pandemik Covid-19.

Tidak sampai satu minggu menyuarakan hasrat untuk menjemput Anuar ke pejabat bagi sesi penggambaran khas Aidilfitri tahun ini, respons positif dibalas tanda setuju.

Satu hal yang comel, Anuar sempat bergurau konon-kononnya sudah tidak tahu bagaimana untuk bergambar di studio kerana sudah bertahun tidak melakukan hal sebegitu.

Paling dinanti

Dipendekkan cerita, seperti dijanjikan, Anuar sampai tepat pada masa mengikut hari yang dipersetujui sebelumnya.

Selepas sesi fotografi bersama dua pasang persalinan baju melayu berbeza rona, Anuar sempat berkongsi keterujaan untuk menyambut Aidilfitri pada tahun ini.

“Saya rasa perkara ini bukan saya seorang saja yang gembira, teruja dan tidak sabar. Pasti semua antara kita turut gembira.

“Keterujaannya betul-betul lain kali ini. Kadang-kadang tak tahu nak cakap macam mana. Inilah lebaran paling saya tunggu-tunggu,” katanya memulakan bicara bersama HibGlam.

SEPERTI kebiasaan, Anwar turut tidak melepaskan peluang membantu menyediakan juadah dan menu wajib Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Jelas Anuar, bukan gembira seperti orang tidak pernah beraya dan menjamu juadah di pagi raya, tetapi keterujaan tersebut lebih kepada tautan semula hubungan silaturahim yang lama berjarak angkara keadaan.

Katanya, pertemuan dan tradisi berkumpul bersama semua ahli keluarga besar antara momen yang paling dirindui dan dinanti-nanti saban tahun.

“Kalau macam dua tahun sebelum ini, kami tak dapat nak kumpul adik-beradik bersama ayah dan ibu serta saudara-mara disebabkan pandemik.

“Tetapi alhamdulillah tahun ini kita tidak lagi dibelenggu, kita tidak lagi dipenjara dan sudah boleh berjumpa semula secara normal,” katanya.

Meneruskan cerita, Anuar atau nama penuhnya Shahrul Anuar Zain berkata, tahun ini juga semua adik-beradiknya dapat berkumpul di rumah ibu dan bapanya di Shah Alam Selangor.

Masak beramai-ramai

Tidak setakat berkumpul, Anuar dibantu adik-beradik bersama ibunya memasak bermacam-macam juadah raya bermula pada malam raya sehinggalah terbit fajar pagi lebaran.

Katanya, memasak beramai-ramai dengan diketuai ibunya antara momen wajib setiap kali tibanya Syawal.

top AIDILFITRI tahun ini, Anwar memilih untuk berkumpul bersama adik-beradik dan keluarga besarnya di Shah Alam, Selangor.

Sayangnya kemanisan tersebut ‘tertunda’ sebanyak dua kali edisi raya angkara pandemik.

“Masak-memasak ini memang benda wajib dan sudah bagaikan rutin bagi keluar Zain sejak kesekian lamanya.

“Macam kami ada lima beradik, jadi semuanya akan turut membantu ibu di dapur untuk sama-sama siapkan juadah yang akan dijamu tiap kali lebaran tiba.

“Antara juadah wajib yang biasa dimasak bersama-sama secara bergotong-royong termasuklah makanan kegemaran saya iaitu ayam masak merah.

“Selain itu ada juga sayur lemak lodeh, rendang ayam, rendang daging, ayam kurma, nasi tomato dan beberapa lagi menu wajib,” katanya.

BAGINYA, bukan gembira seperti orang tidak pernah beraya dan menjamu juadah di pagi raya, tetapi keterujaan tersebut lebih kepada tautan semula hubungan silaturahim yang lama berjarak angkara keadaan.

Ditebak mengenai tempoh cuti Aidilfitri tahun ini, pelantun lagu Andainya Takdir itu berkata, tiada had spesifik ditetapkan.

Ujar Anuar, paling sikit pun selama satu minggu dan paling lama pun selama dua minggu tergantung kepada jadual seninya.

Selepas pulang dari Lubnan setelah hampir 10 hari menyertai misi kemanusiaan di sana, dia dengan bantuan pengurusnya menunda semua aktiviti seni selepas Aidilfitri bagi mendapatkan rehat secukupnya dan membuat sedikit persiapan raya.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar selepas lebih seminggu saya berada di Lubnan sebagai salah seorang anggota bersama Syria Care bagi misi kemanusiaan di sana.

“Terlalu banyak perkara dan ilmu yang saya pelajari di sana.

“Biarpun tidak lama, tetapi saya puas kerana dapat sama-sama membantu jayakan misi kemanusiaan tersebut dengan seikhlas hati.

“Benda paling banyak saya belajar adalah mensyukuri sesuatu nikmat yang Allah berikan. Itu apa yang saya nampak dan kadangkala alpa,” tuturnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI