fbpx

Indonesia sedia garis panduan menuju endemik selepas Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jalan-jalan raya di Indonesia sesak dengan kenderaan ketika pulang beraya di kampung halaman. – AFP

JAKARTA – Pakar Utama Pejabat Kakitangan Presiden, Abraham Wirotomo menyatakan bahawa garis panduan menuju ke arah endemik Covid-19 akan disediakan selepas melaksanakan penilaian berkaitan aktiviti pulang beraya atau mudik lebaran, lapor laman berita Detik semalam.

Perkara itu dinyatakan Abraham bagi memperbetulkan laporan yang mendakwa bahawa pemerintah Indonesia telah menyiapkan garis panduan peralihan status daripada pandemik kepada endemik.

“Bagi garis panduan berkaitan endemik, pemerintah masih menunggu penilaian, beberapa minggu selepas mudik lebaran.

“Kita berharap agar lonjakan kes tidak akan berlaku seperti di negara-negara lain. Justeru, pemerintah akan bersiap sedia sekiranya terjadi keadaan itu,” kata Abraham dalam satu kenyataan akhbar  semalam.

Tambah Abraham, sejak 24 Mac hingga 4 Mei 2022, kes jangkitan Covid-19 di Indonesia dapat ditangani dengan baik. 

“Pada 3 Mei 2022, kita mencatatkan 107 kes sehari, dengan angka kematian sebanyak 18. Kes aktif pula kini hanya 6,951.

“Kami mengucapkan rasa syukur dan penghargaan kepada petugas kesihatan, Tentera Nasional Indonesia dan Polis Republik Indonesia selain pasukan petugas yang terus mengingatkan orang ramai mengenai protokol kesihatan,” ujarnya.

Justeru, Abraham menegaskan bahawa pemerintah tidak terburu-buru untuk mengubah status pandemik Covid-19 negara itu kepada  endemik, meskipun beberapa indikator menunjukkan penambahbaikan.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) sebelum ini memaklumkan bahawa Indonesia bakal memasuki fasa endemik selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa pemerintah tidak akan tergesa-gesa untuk mengubah status pandemik menjadi endemik. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI