fbpx

Alibaba rugi RM113 bilion akibat khabar angin penahanan Jack Ma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jack Ma ketika berucap pada persidangan inovasi dan syarikat permulaan Vivatech di Paris pada 16 Mei 2019. – AFP

BEIJING – Saham syarikat e-Dagang, Alibaba merudum 9.4 peratus Selasa lalu, selepas laporan media menyatakan bahawa seorang individu dengan nama keluarga ‘Ma’ ditahan oleh pihak berkuasa berhubung kesalahan berkaitan keselamatan negara, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Individu terbabit dilaporkan ditahan di bandar Hangzhou yang menjadi lokasi ibu pejabat Alibaba. Syarikat itu diasaskan oleh  Jack Ma.

Menurut stesen penyiaran China, CCTV, suspek ditahan di bawah ‘langkah wajib’ pada 25 April lalu kerana disyaki bersubahat dengan kumpulan  anti-China di luar negara untuk menghasut dan menggugat keselamatan negara.

Laporan berita yang hanya mempunyai satu ayat itu kemudiannya dilapor semula oleh organisasi media lain di seluruh China, seterusnya mencetuskan jualan saham panik di pasaran Hong Kong.

Keadaan itu dilaporkan menyebabkan kerugian pada nilai pasaran Alibaba sehingga kira-kira AS$26 bilion (RM113 bilion) dalam hanya beberapa minit.

Bekas Ketua Pengarang akhbar Global Times, Hu Xijin kemudian membuat penjelasan di laman  sosial tempatan, Weibo bahawa  berita itu telah disalah tafsir.

Menurutnya, nama suspek yang ditahan itu sebenarnya mempunyai tiga perkataan, sedangkan nama Cina bagi Jack Ma adalah Ma Yun.

Global Times seterusnya melaporkan bahawa suspek dilahirkan pada 1985 di Wenzhou, manakala Jack Ma lahir pada tahun 1964 di Hangzhou.

Suspek juga dilaporkan merupakan seorang pengarah penyelidikan dan pembangunan perkakasan di sebuah syarikat teknologi maklumat.

Penjelasan itu mendorong saham Alibaba kembali pulih daripada sebahagian besar kerugian yang dialaminya menjelang penutupan sesi dagangan.

Dalam pada itu, Jack Ma ‘mengunci mulut’ daripada mengeluarkan sebarang komen mengenai perkara itu pada Selasa lalu, ketika khabar angin mengenai penangkapannya terus tersebar di internet. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI