JOHOR BAHRU – Polis Johor menggempur Taman Kota Masai khususnya lokasi yang dikenali dengan nama ‘sekolah wheelie’ ekoran aktiviti bermotor kembali rancak di lokasi berkenaan sejak peralihan ke fasa endemik bermula, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintendan M. Kumarasan berkata, lokasi berkenaan juga kembali menjadi tumpuan selepas insiden kemalangan maut melibatkan empat remaja, seminggu sebelum sambutan Aidilfitri lalu.
Sehubungan itu katanya, pihaknya telah mengambil langkah proaktif dalam membendung gejala itu dengan menjalankan Ops Khas Motosikal sempena Op Selamat 18 Hari Raya Aidilfitri, semalam.
“Dalam operasi berkenaan, sebanyak 81 saman telah dikeluarkan dimana polis turut memeriksa 105 buah motosikal dengan kesalahan utama membabitkan tidak memakai topi keledar.
“Berdasarkan statistik OP Selamat 18 Hari Raya Aidilfitri 2022, penunggang motosikal merupakan kategori yang paling tinggi menyumbang kepada jumlah kemalangan maut.
“Oleh itu, JSPT Johor terpaksa mengambil pendekatan agresif ‘policing’ dengan konsep ‘total enforcement’ terhadap golongan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE














