fbpx

Jersi Maradona ‘Hand of God’ berharga lebih £7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jersi milik legenda Diego Maradona 'Hand of God' pada Piala Dunia 1986 mendapat bidaan termahal dunia apabila dijual pada harga lebih £7 juta (RM 38.1 juta). - AFP

LONDON – Jersi yang pernah dipakai legenda Argentina, Diego Maradona ketika melakukan jaringan ‘Hand of God’ pada Piala Dunia 1986 mendapat bidaan termahal dunia apabila dijual pada harga lebih £7 juta (RM 38.1 juta).

Pemiliknya yang juga bekas pemain tengah England, Steve Hodge mengambil keputusan untuk melepaskan jersi berkenaan dan nilai tersebut mengatasi harga jualan jersi termahal yang pernah direkodkan ketika bidaan iaitu jersi pemain legenda besbol New York Yankees, Babe Ruth, £4.4 juta (RM23.9 juta) pada 2019.

Pada asalnya, jersi Maradona dianggarkan bernilai £4 juta hingga £6 juta dan sejak dibuka untuk bidaan, hanya seorang tampil mengemukakan bidaan bernilai £4 juta (RM21.7 juta) dan akhirnya ia terjual pada harga  £7,142,500 (RM38,891,187 juta).

Pada aksi suku akhir Piala Dunia 1986, Maradona meledak dua gol untuk membantu Argentina menewaskan England 2-1 dengan menyaksikan satu lagi gol dihasilkannya yang turut diangkat sebagai jaringan terbaik ‘goal of the century’.

“Jersi bersejarah ini bukan saja kenangan tentang detik penting dalam sejarah sukan tetapi ia juga sejarah dalam abad ke-20. Dalam tempoh beberapa minggu sejak bidaan dibuka, kami dibanjiri ramai peminat dan pengumpul.

“Ia boleh dikatakan jersi yang sentiasa menjadi idaman oleh pembida dan nilainya memang layak untuk diangkat sebagai rekod baharu dalam apa jua barangan seumpamanya,” kata ketua pakaian jalanan dan barang koleksi moden Sotheby, Brahm Wachter yang bertanggungjawab menjalankan bidaan terbabit.

Hodge sebelum ini menegaskan, jersi tersebut tidak akan dijual dan sejak 20 tahun lalu, ia dipamerkan di Muzium Bola Sepak Kebangsaan di Manchester.

Pada edisi itu juga, Maradona turut mengetuai Argentina menjulang Piala Dunia selepas menewaskan Jerman Barat 3-2. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI