fbpx

Raya di Malaysia lebih meriah – Daler Yusof

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DALER YUSOF

PEJAM celik, sudah sedekad lamanya pelakon yang berasal dari Uzbekistan, Daler Yusuf menyambut keriangan dan kemeriahan Syawal di bumi Malaysia.

Setiap kali Syawal tiba, pelbagai jenis juadah terutama menu tempatan yang menjadi hidangan utama santapan membuatkan Daler cukup teruja.

Selain kemeriahan suasana dan keenakan juadah, ada faktor lain yang membuatkan pelakon itu bertambah teruja menyambut hari raya di negara ini, teruatama amalan kunjung-mengunjung dan pulang beraya di kampung halaman rakan-rakannya.

“Sejak 2011 saya mula beraya di Malaysia. Antara kenangan paling saya tak boleh lupakan adalah ketika diajak pulang beraya di kampung kawan-kawan. Sebab suasana hari raya di kampung sangat meriah.

“Paling seronok ketika tahun 2015, saya pulang ke Negeri Sembilan, rumah seorang pengarah.

“Makanan dan suasana paling meriah ditambah dengan keletah kanak-kanak bermain bunga api beramai-ramai.

“Selepas dua tahun tidak beraya, tahun ini pula kita kembali dapat beraya macam biasa, jadi kemeriahannya pasti berganda,” kongsinya.

Ditanya tentang juadah lazim yang dihidang keluarga sendiri sempena Syawal nanti, Daler berkata, selalunya mereka akan memasak pelbagai menu menarik masakan Melayu dan Uzbekistan.

Antara juadah wajib yang dimasak adalah plov (sejenis nasi goreng) dan samsa (seperti samosa), selain menu tempatan seperti rendang, ketupat dan lemang.

“Setiap tahun di Uzbekistan, hari raya akan jadi hari besar di sana sebab dahulu merupakan negara komunis dan tak dibenarkan sambut perayaan.

“Selepas merdeka, setiap tahun sambutan di sana semakin okey.

“Tetapi saya tak nafikan suasana di Malaysia jauh lebih meriah sebab tradisi sambut raya sudah lama wujud,” kata Daler yang merancang untuk pulang ke Uzbekistan selepas sambutan raya jika tiada aral melintang.

KALI terakhir Daler pulang ke Uzbekistan pada 2020. Selepas dua tahun, dia akan kembali ke negaranya buat seketika selepas Syawal ini.

Usaha belajar

Bercakap tentang perkembangan karier, pemilik nama sebenar Daler Yusuf Khamrokulov Muhammad itu kembali giat berlakon selepas dua tahun kariernya tersekat dek pandemik.

“Sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya memang tak banyak shooting. Waktu itu saya ada tolong adik jual baju menerusi TikTok. Sementara saya sendiri jalankan bisnes bakeri dan kek.

“Insya-Allah, kalau tiada aral melintang selepas raya nanti saya akan turun ke set penggambaran untuk sebuah drama dengan RTM dan Astro” kongsi Daler.

Ditebak tentang cabaran sepanjang bergelar pelakon terutama dari segi tawaran watak kerana dia sering menerima karakter tipikal seperti lelaki berdarah kacukan, aktor berusia 30 tahun itu mengakui tidak pernah putus asa untuk memperbaiki diri.

Ujar Daler, dia sedar kerap diberikan watak sebegitu kerana pertuturan bahasa Melayunya masih belum fasih.

“Saya sentiasa belajar untuk hilangkan slang, contohnya banyak berbual dengan kawan-kawan.

“Adakalanya saya suka tonton drama Melayu walaupun tak suka dengan cerita yang dipaparkan.

“Saya mengaku memang agak susah untuk hilangkan slang sebab saya dibesarkan dengan bahasa ibunda.

“Tetapi itu satu anggap sebagai cabaran untuk memperbaiki diri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI