fbpx
DR. MOHD. GHAZALI puas apabila berjaya menaikkan ikan bersaiz besar yang hidup di laut dalam melebihi 300 meter.

Puas dengan cabaran memburu ikan laut dalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HOBI memancing sudah sangat sinonim dengan golongan lelaki, tidak kira sama ada yang tinggal di kawasan pedalaman dan luar bandar, mahupun yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Ada yang menjadikan lokasi semula jadi seperti sungai, tasik dan kolam terbiar sebagai tempat mencari rezeki.

Namun, tidak kurang juga yang sanggup mengeluarkan wang untuk melepaskan gian memancing di kolam-kolam berbayar selain menyewa
bot untuk memburu ikan di tengah laut.

Bagi seorang doktor, Dr. Mohd. Ghazali Abul Ghani, 37, dia memilih untuk memancing di laut sebagai cara mencari kepuasan terhadap
hobinya itu.

Bagaimanapun katanya, dia terlebih dahulu menjadikan aktiviti memancing sebagai hobinya yang serius bermula tahun 2014 selepas mengikuti rakan sekerjanya memancing di perairan Mersing, Johor.

“Ketika itu, saya bertugas di Hospital Selayang dan kebetulan rakan-rakan sekerja di situ meminati aktiviti memancing.

“Jadi, mereka mempelawa saya untuk mengikuti trip memancing yang mereka atur di Mersing selama dua hari.

“Disebabkan saya tidak pernah memancing di atas bot, hari pertama sangat memeritkan kerana saya mabuk laut dan tidak mampu memancing langsung.

“Tetapi pada hari kedua, saya tidak lagi mabuk laut, malah mampu menaikkan banyak ikan sehingga membuatkan saya mula seronok dengan hobi memancing di laut,” katanya yang kini tinggal di Semenyih, Selangor.

AKSI para pemancing di laut dalam ketika menaikkan ikan yang dipancing menggunakan teknik jigging.

Kata Dr. Mohd. Ghazali lagi, selepas berpindah tempat kerja ke Hospital Klang, dia menemui rakan sehobi yang baharu dan semakin kerap menghabiskan cuti hujung minggu dengan pergi memancing di laut secara menyewa bot bersama rakan-rakan.

Ceritanya lagi, dia mula menceburi aktiviti memancing di laut dalam selepas kerap bergaul dengan kaki pancing di sekitar Klang,

Menurut Dr. Mohd. Ghazali, kali pertama dia mengikuti trip memancing laut dalam adalah di perairan Semporna, Sabah bersama rakan-rakanya itu.

“Disebabkan saya tidak mempunyai pengalaman memancing laut dalam, saya hanya membawa kelengkapan yang sudah sedia ada sahaja kerana beranggapan ia sudah memadai.

“Tetapi rupa-rupanya, aktiviti memancing laut dalam ini terutamanya di perairan Semporna sangat berbeza dengan memancing laut dalam di sekitar Semenanjung.

“Jika di Semenanjung, kedalaman air laut hanyalah sekitar 80 meter (m) hingga 100m sahaja, tetapi di perairan Semporna boleh mencapai antara 300m hingga 400m.

“Disebabkan itulah, cara ‘permainan’ juga berbeza dan ikan yang akan diperoleh juga terdiri daripada ikan yang sukar ditemui di perairan Semenanjung,” katanya.

Jelasnya, antara spesies ikan yang banyak diburu kaki pancing di perairan Semporna termasuklah tuna sirip kuning, red ruby snapper dan ikan lenggeng atau lebih dikenali dengan nama ikan timah.

Katanya, walaupun belum pernah mendaratkan ikan tuna, tetapi dia sudah beberap kali berjaya menaikkan ikan red ruby snapper dan ikan lenggeng dengan berat mencecah 10 kilogram seekor.

Mengulas lanjut mengenai aktiviti memancing laut dalam, dia yang merupakan pengamal perubatan dan memiliki sebuah klinik di Shah Alam berkata, seorang pemancing itu haruslah membuat persediaan rapi terlebih dahulu.

Persediaan yang dimaksudkan ialah pertama dari segi fizikal dan mental kerana dengan kedalaman mencecah 300m, seorang pemancing memerlukan tenaga yang banyak untuk bertarung dan menaikkan ikan yang memakan masa antara 15 minit hingga 30 minit.

IKAN lenggeng atau timah antara spesies yang boleh ditemui di perairan laut Semporna.

Kedua katanya, ialah persediaan peralatan yang sesuai terutamanya joran, mesin, tali, mata kail dan batu ladung kerana ia dapat membantu pemancing memancing dengan baik menggunakan teknik jigging.

Perkara ketika pula katanya, adalah kos kerana memancing laut dalam memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi bagi menyewa bot mengikut kadar pakej yang ditawarkan oleh pengendali pakej.

“Walaupun saya perlu mengeluarkan perbelanjaan hampir RM2,000 setiap kali mengikuti trip memancing laut dalam di perairan Semporna, tetapi saya berasa puas.

“Ini kerana ikan yang berjaya dinaikkan bersaiz besar serta daripada spesies berbeza daripada yang biasa diperoleh di perairan Semenanjung.

“Malah, saya dan rakan-rakan akan mengatur trip sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk ke perairan Semporna bagi mencari spesies ikan bersaiz besar selain spesies yang pelik dan sukar untuk ditemui di Malaysia Barat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN