fbpx

Lee Zii Jia tenang ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA tidak berdepan masalah untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia selepas menundukkan Shesar Hiren sebentar tadi. - BADMINTON PHOTO

JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tampil dengan kemenangan bergaya apabila melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) Manila, Filipina sebentar tadi.

Zii Jia yang juga pilihan ketiga dilihat tidak berdepan sebarang kesukaran apabila mudah mengatasi pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito dengan kemenangan straight-set.

Meskipun Shesar Hiren cuba bangkit untuk memenangi set kedua dan mengheret perlawanan ke set ketiga, namun Zii Jia bijak mengekalkan momentum untuk mencatat kemenangan 21-14, 22-20.

“Saya tidak banyak melakukan kesilapan mudah, selain saya juga telah melakukan persiapan terbaik untuk turun pada aksi kali ini. Sebelum ini saya telah berdepannya sebanyak dua kali jadi sedikit sebanyak sudah mengetahui kelemahan dan kelebihan Shesar,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Hasil kemenangan tersebut, Zii Jia akan bertemu pilihan kelapan dari Jepun, Kanta Tsuneyama.

Tidak ketinggalan, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing meneruskan aksi konsisten selepas mengatasi wakil India, Ishaan Bhatnagar-Tanisha Crasto 21-18 , 21-18.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa perseorangan wanita negara, S. Kisona apabila dia kalah kepada pilihan kelima dari China, He Bing Jiao, 18-21, 14-21, manakala beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tewas kepada pasangan Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan 21-16, 18-21, 21-16.

Pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei terpaksa akur dengan pilihan ketiga, juga dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping 9-21, 19-21. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI