GEORGE TOWN – Sikap riak atau memperagakan sesuatu kemewahan yang diperoleh dan dianggap paling istimewa pada diri disifatkan sebagai satu penyakit rohani paling berbahaya dan tercela bagi orang beriman.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, sifat menunjuk-nunjuk adalah gerbang bagi syaitan untuk memasuki diri hambanya bagi tujuan merosakkan kedudukan di dunia dan akhirat.
Justeru katanya, amalan tersebut perlu dihindari kerana berupaya mencacatkan pahala ibadat dan kebajikan umat Islam terutama pada bulan Ramadan ini.
“Ketika di dunia, seseorang yang suka menonjolkan ‘kelebihan’ dirinya dipandang hina oleh masyarakat, manakala di akhirat nanti akan menyebabkan pahala ibadat dan kebajikannya terhakis serta mengurangkan berat timbangan amalannya ketika dihisab di padang Mahsyar nanti.
“Duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikeluarkan sepatutnya tidak digunakan untuk membazir ataupun semata-mata mempamerkan kemewahan.
“Menggunakan wang tersebut untuk membeli barang-barang mewah adalah tersasar daripada tujuannya yang sebenar dan boleh dianggap menurut nafsu yang merugikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Beliau memberitahu, tujuan kerajaan membenarkan rakyat mengeluarkan sebahagian simpanan tersebut adalah bagi mengatasi kesulitan hidup yang dihadapi terutama disebabkan oleh wabak Covid-19.
“Lagipun wang KWSP yang dikeluarkan itu tidaklah seberapa untuk dibangga-banggakan. Berfikirlah secara matang untuk kepentingan diri dan keluarga dalam jangka panjang.
“Jangan asyik nak bergaya buat seketika, kelak menyesal yang tiada gunanya,” tambah beliau.














