GEORGE TOWN – Luluh hati seorang ibu apabila anak lelaki yang ditunggu untuk meraikan Syawal pada minggu depan maut terjatuh dari tingkat lapan bangunan penginapan siswa di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini kelmarin.
Arwah Lukman Hakim Mat Rani, 22, yang merupakan pelajar jurusan pendidikan di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM ditemui di tingkat bawah bangunan itu pada pukul 10.30 malam.
Ibu arwah, Wan Rubiah Wan Abdullah, 50, berkata, dia terkejut menerima panggilan daripada rakan anaknya yang memaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 11 malam.
Menurutnya, anak kelima daripada lapan adik-beradik itu dijadualkan pulang ke Kampung Penambang, Kota Bharu untuk menyambut raya pada Sabtu ini.
“Arwah sudah membeli tiket bas dan akan pulang menyambut raya dan cuti semester selama sebulan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Wan Rubiah, kali terakhir dia berhubung dengan arwah menerusi panggilan video kira-kira dua minggu lalu.
“Arwah beritahu dia tak sempat beli baju raya jadi saya membelikannya sepasang baju Melayu berwarna biru sedondon dengan adik beradik lain pagi semalam (kelmarin),” ujarnya.

Wanita itu memberitahu, anaknya yang bercita-cita menjadi guru Sejarah itu tidak menunjukkan sebarang perubahan yang dia akan pergi selama-lamanya.
“Saya reda dengan pemergiannya kerana anak adalah pinjaman daripada Allah. Dia telah meminjamkan (arwah) kepada saya selama 22 tahun,” katanya.
Mengulas mengenai kejadian yang berlaku, Wan Rubiah berkata, arwah anaknya dikatakan terjatuh ketika mahu mengambil baju di ampaian di koridor tingkat lapan bangunan asrama tersebut.
Mayat mangsa ditemui rakannya tidak sedarkan diri di dalam longkang di tingkat bawah.
Berita berkaitan: Penuntut USM maut jatuh tingkat lapan
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 10.30 malam.
“Polis mengenal pasti rakan sebilik si mati dan akan memanggil mereka untuk beri keterangan,” katanya.
Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian. Setakat ini kes tersebut diklasifikasi sebagai mati mengejut.