fbpx

Pesona gaya sopan, moden abaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABAYA yang bersifat labuh dan menutup aurat sesuai digayakan sebagai pakaian harian wanita Muslimah

BUSANA abaya yang berasal dari negara-negara di Asia Barat khususnya Arab Saudi mempunyai pesonanya tersendiri kerana sifatnya yang sopan, sekali gus menjadikan pemakainya kelihatan cukup anggun.

Abaya merupakan pakaian luar yang dipakai oleh wanita daripada negara-negara di Asia Barat dan lazimnya bersifat longgar dan labuh bagi menutup bentuk tubuh si pemakai.

Malah, ada antara pemakai yang menggayakan abaya terus untuk bersolat memandangkan ia sopan dan selesa.

Minat yang mendalam terhadap busana itu kemudiannya mendorong seorang anak tempatan untuk mewujudkan jenamanya sendiri yang hanya mempertaruhkan pelbagai rekaan abaya yang menarik. 

Bertitik tolak daripada minatnya sendiri yang gemar menggayakan abaya sebagai pakaian harian, pengasas jenama Edhulm, Ul Mardiyah Azmi, 25, mewujudkan jenamanya sendiri pada 2015 dengan mempertaruhkan busana penuh sopan itu.

“Saya amat meminati gaya sopan abaya sejak dari bangku sekolah lagi.

“Namun, ketika itu saya menyedari bahawa tidak banyak jenama tempatan yang mempertaruhkan abaya memandangkan gaya itu lebih banyak dimonopoli oleh Arab Saudi.

“Justeru, saya mengambil keputusan membawa gaya abaya Arab Saudi itu ke negara ini supaya ia boleh digayakan oleh penggemar busana itu di Malaysia,” jelas anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Edhulm mempertaruhkan pelbagai rekaan abaya dengan menggunakan material lembut, beralun serta mudah digosok atau tanpa gosok sebagai gaya signaturnya.

GAYA abaya minimalis menyerlah keanggunan sipemakai

Malah, kesemua abaya yang dihasilkan juga didatangkan dalam satu saiz sahaja memandangkan ia bersifat ‘one-size-for-all’.

Selain didatangkan dalam satu saiz, Ul Mardiyah berkata kesemua busana Edhulm bersifat cukup praktikal dan boleh digayakan pada bila-bila masa sahaja.

“Apabila bercakap mengenai abaya, ia bukan hanya terhad untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri atau acara tertentu, ia malah boleh digayakan sebagai pakaian harian kerana sifatnya yang selesa dan sopan,” ujarnya.

Bagi koleksi Aidilfitri 2022, Edhulm mempertaruhkan tiga rekaan iaitu abaya Ameena, dres Rajani dan dres Taheera.

Abaya Ameena merupakan antara koleksi paling praktikal di mana rekaannya yang ringkas cukup sesuai digayakan pada acara sepanjang bulan Ramadan seperti solat tarawih dan juga acara iftar.

Dres Taheera pula dihasilkan daripada material lut sinar pada bahagian luar yang didatangkan bersama dres rona sama yang digunakan sebagai lapisan dalam.

“Koleksi ketiga pula adalah Rajani dan ia merupakan satu koleksi yang cukup istimewa kerana set abaya polos itu disertakan sekali dengan sehelai selendang dengan corak motif kaligrafi bertulis ‘Edhulm Kuala Lumpur’.

“Ia didatangkan dalam dua rona iaitu coklat gandum dan juga hijau lembut,” ujar Ul Mardiyah sambil menambah bahawa semua rekaan jenama itu mengambil isnpirasi daripada gaya wanita di Asia Barat.

Kesemua koleksi abaya dan tudung di Edhulm berharga antara RM35 sehingga RM300 dan boleh dibeli menerusi laman web www.edhulm.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI