fbpx

Basikal lajak: Pengurusan kes rayuan Sam Ke Ting 11 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sam Ke Ting

PUTRAJAYA – Rayuan kerani wanita terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak lima tahun lalu ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan di sini pada 11 Mei ini.

Peguam Muhammad Faizal Mokhtar yang mewakili Sam Ke Ting memaklumkan tarikh pengurusan kes itu ketika dihubungi media hari ini.

Menerusi semakan sistem mahkamah, pengurusan kes itu ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd. Khairi Haron yang akan berlangsung melalui sidang video Zoom.

Pada 18 April lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Ke Ting, 27, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi.

Wanita itu turut dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 berserta seorang penjamin sementara rayuannya didengar di mahkamah berkenaan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk P. Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali turut membenarkan permohonan kerani itu untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar ketika menjatuhi hukuman turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun lalu yang melepas dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

Ke Ting yang ketika kejadian berusia 22 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Lapan remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14, Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14, Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16, Fauzan Halmijan, 13, Mohamad Azhar Amir, 16, Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14, Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14, dan Haizad Kasrin, 16. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI