fbpx
Gambar hiasan

KWSP mahu RM774 juta, buru 16,575 majikan culas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menubuhkan pasukan khas bagi memburu 16,575 majikan yang gagal melunaskan caruman kepada 144,225 pekerja melebihi tiga bulan ke atas bernilai RM774 juta.

Daripada jumlah itu, lebih 12,000 pengarah syarikat telah dikenakan tindakan larangan ke luar negara kerana gagal menjalankan tanggungjawab sebagai majikan.

Difahamkan, usaha itu dilakukan bagi mengimbangi aliran tunai sebanyak RM40.1 bilion yang dikreditkan ke dalam akaun 5.3 juta ahli pada 18 April lalu.

Majikan daripada pelbagai sektor termasuk perkhidmatan, perkilangan, pembinaan dan pengangkutan itu dicari kerana tidak menjelaskan caruman de­ngan alasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan serta penutupan sempadan bagi membendung penularan Covid-19.

KWSP dalam satu kenyataan kepada Kosmo! berkata, kebanyakan majikan memberikan alasan tidak dapat meneruskan atau terpaksa menutup operasi perniagaan yang jika diteruskan akan membawa kerugian lebih besar kepada mereka.

“Ini antara sebab mereka gagal melunaskan caruman kepada pekerja. Oleh sebab itu, kita menubuhkan pasukan khas bagi kesan senarai majikan yang gagal mencarum kepada pekerja.

“Setakat ini, seramai 12,712 pengarah syarikat telah dikenakan tindakan larangan ke luar negara melibatkan 7,267 majikan,” kata kenyataan itu.

Gambar hiasan.

Menurut KWSP, pihaknya mempunyai jabatan dan unit khas bagi memastikan majikan menjalankan tanggungjawab caruman mereka agar masa depan persaraan pekerja mereka lebih terjamin.

Jabatan dan unit khas itu ialah Jabatan Physical Channel KWSP menerusi dua pengurusan iaitu Defaulters Management Unit dan ESC Complaints Management Unit melibatkan 567 pegawai ­Employers Relation Services (ERS) di semua cawangan.

“ERS bertindak sebagai peme­riksa yang menjalankan tindakan penguatkuasaan atau menguatkuasakan Akta KWSP 1991,” katanya.

Ujar kenyataan itu, majikan diwajibkan mencarum mengikut kadar semasa yang telah dinyatakan di dalam Akta KWSP 1991 serta Peraturan dan Kaedah KWSP 1991 jika tidak mahu dikenakan penalti.

Sehubungan itu, KWSP menasihatkan setiap ahli untuk memastikan caruman mereka adalah teratur dengan me­nyemak potongan caruman melalui pe­nyata atau i-Akaun.

“Jika majikan didapati tidak membuat caruman KWSP, mereka boleh didakwa dan ahli boleh mendapatkan semula jumlah caruman yang sepatutnya dibuat oleh majikan masing-masing.

“Ahli harus semak penyata gaji setiap bulan dan jika terdapat tunggakan atau jumlah caruman yang berbeza dari yang sepatut­nya, ahli perlu melaporkan aduan mereka kepada KWSP,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN