fbpx
Anak muda yang mengenakan kostum drama dan filem adiwira mengagihkan bubur lambuk di Bazar Ramadan Seberang Jaya di Seberang Perai hari ini.

Ultraseven, Deadpool agih bubur lambuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Sekumpulan anak muda yang mengenakan kostum beberapa watak adiwira dan kartun mencuri tumpuan apabila tampil mengagihkan sebanyak 200 bungkus bubur lambuk di Bazar Ramadan Seberang Jaya di sini hari ini.

Mereka merupakan sebahagian daripada penggiat persembahan kostum yang dikenali sebagai Geng Superhero Penang.

Antara watak yang menyertai acara agihan bubur lambuk itu adalah Ultraseven, Deadpool, Power Rangers, beruang dan badut serta watak drama bersiri Squid Game.

Menurut ketua program, Mohamad Syukur Mohd. Patthi, 28, mereka tampil ke bazar Ramadan berkenaan bagi memeriahkan suasana dan menggembirakan pengunjung.

“Ia merupakan inisiatif kami sendiri untuk mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung di bazar ini.

“Selain itu kami mahu menghiburkan kanak-kanak yang penat berpuasa kerana mereka nampak ceria dengan kehadiran kami,” katanya yang mengenakan kostum Ultraseven.

Mohamad Syukur berkata, ahli kumpulan berkenaan menjalankan aktiviti persembahan kostum secara separuh masa sebagai hobi selain mampu menjana pendapatan sampingan.

Sementara itu, kesemua bubur lambuk berkenaan berjaya diagihkan kepada pengunjung yang terdiri daripada pelbagai bangsa dalam tempoh kira-kira 15 minit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN