fbpx

Mesyuarat khas OIC bincang keganasan baharu Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin (kanan) menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada salah seorang OKU yang hadir pada Jamuan Iftar dan Beramah Mesra Bersama Warga OKU Parlimen Indera Mahkota, di Kuantan semalam.

KUANTAN – Satu mesyuarat khas bagi membincangkan keganasan terbaharu Israel di Masjidil Aqsa akan diadakan di pejabat sekretariat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi esok.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, mesyuarat itu adalah antara usaha negara bagi mendesak Israel menghentikan segera tindakan keganasan ke atas umat Islam.

“Mereka hanya ingin beribadat di Masjidil Aqsa, kita tidak mahu peristiwa tahun lalu berulang, tahun lalu keganasan berpanjangan hingga ramai yang terbunuh.

“Kita tahu penindasan Israel ini berjalan (untuk tempoh) panjang, tetapi hentikan dulu yang ini, hentikan dulu apa yang sedang berlaku ketika ini,” katanya ketika sidang akhbar sempena Jamuan Iftar dan Beramah Mesra Bersama Warga Orang Kelainan Upaya (OKU) di sini semalam.

Menurutnya, mesyuarat tersebut akan disertai wakil tetap negara anggota OIC yang mana Malaysia akan diwakili Duta Malaysia ke Arab Saudi.

“Kita harap mesej utama kita yang mahu keganasan Israel dihentikan segera diterima pada peringkat mesyuarat itu kelak. Selain itu, kita juga mahu negara OIC dan masyarakat dunia melabelkan tindakan Israel ini seperti sebuah negara ‘apartheid’,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin merakam ucapan takziah dan simpati terhadap keluarga pelajar Malaysia, Husna Solehah Mohd. Salleh, 21, yang meninggal dunia akibat penyakit tuberkulosis di sebuah hospital di Iskandariah Mesir kelmarin.

Beliau memberitahu jenazah Solehah Husna yang merupakan pelajar tahun tiga jurusan pergigian Universiti Iskandariah itu akan dikebumikan di Kaherah, hari ini selepas mendapat kebenaran ibu bapanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI