fbpx
UJAR Jovian, perkara paling sukar dalam bidang fesyen adalah untuk mengikut trend semasa.

Jovian kembangkan sayap perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DATUK Jovian Mandagie, satu nama yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan penggemar dan penggiat industri fesyen di negara ini.

Selepas 15 tahun berada dalam industri fesyen, namanya terus mekar dan sentiasa dikagumi ramai memandangkan produk yang mendapat sentuhan tangan magisnya laku keras di pasaran.

Minggu ini, kolum Wawancara berkesempatan membawakan pensohor fesyen tersebut yang antara lain mengupas pelbagai aktiviti perniagaannya selain fesyen termasuk penghasilan pelitup muka jenamanya.

Beliau turut memberitahu tentang perancangan masa depannya dalam industri fesyen dengan menjalankan kerjasama bersama beberapa pihak bagi mewarnai dunia fesyen di negara ini.
———————————————————————————————————————————————————————————————-

NAMA Jovian Mandagie sememangnya sudah tidak asing lagi dalam industri fesyen tanah air.

Pereka fesyen dan ahli perniagaan ini bukan sahaja berjaya membangun, bahkan berdiri di atas namanya sendiri di bawah jenama Jovian sejak berkecimpung dalam dunia fesyen tanah air 15 tahun lalu apabila magis sentuhan tangannya sentiasa menjadi fenomena dan dikagumi ramai.

Bermula dengan industri fesyen, figura hebat ini berjaya melebarkan sayap perniagaannya dalam penghasilan pelitup muka dan terbaharu, farmaseutikal.

Baik rekaan busana mahupun pelitup muka, pesohor ini begitu teliti dalam setiap penghasilan ‘karya’ yang mana setiap inci produk dihasilkan dengan teliti demi keselesaan pengguna.

Tidak lokek dengan senyuman dan ramah menjawab setiap soalan diajukan dengan begitu tenang serta sopan biarpun sibuk, tidak hairanlah keperibadian yang ditonjolkan itu begitu disenangi dan disegani ramai.

Mendekati pesohor fesyen tanah air, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual Datuk Jovian Mandagie di pejabatnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Siapakah insan yang mendorong Datuk memilih bidang fesyen sebagai kerjaya?

JOVIAN: Individu yang mendorong dan menjadi inspirasi untuk saya menceburkan diri dalam bidang ini pastinya ibu saya sendiri.

Dibesarkan oleh ibu yang merupakan ibu tunggal, saya menyaksikan sendiri bagaimana beliau bekerja keras sebagai pakar kecantikan. Hal itulah yang mendorong saya untuk menjadi seorang ahli perniagaan dan pereka fesyen.

Alhamdulillah, saya kini telah memasuki tahun ke-15 di dalam industri fesyen.

Ibu merupakan seorang pakar kecantikan yang terbaik ketika eranya. Pada waktu itu, dia merupakan pengasas produk kosmetik Citra Ayu bersama seorang saudara sebelum mereka membawa haluan masing-masing dan ibu kemudian mengasaskan pula kosmetik jenama Silvana.

Pada waktu itu, figura Datuk Seri Siti Nurhaliza termasuk beberapa selebriti terkenal tanah air lain sering menggunakan perkhidmatan ibu.

Sejak berusia 12 tahun, saya membesar dengan melihat bagaimana golongan wanita berusaha untuk senantiasa tampil cantik baik dari segi penjagaan muka, tubuh, pakaian dan pelbagai aspek lain.

Situasi itu menjadikan saya seronok dan terdorong ke arah industri ini. Begitupun, menginjak dewasa, saya bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek, memandangkan pada waktu itu, saya merupakan pelajar terbaik dalam subjek matematik dan fizik.

Bagaimanapun, apabila mendalami ilmu tersebut, saya mendapati ia agak mencabar dan mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang fesyen.

Ini memandangkan ia tidak memerlukan saya untuk study hard.

Tambahan pula, sebagai pelajar arkitek, anda perlu belajar lebih 16 jam setiap hari dan jika kurang daripada tempoh itu, pastinya membuatkan anda sukar untuk skor.

Ditambah pula dengan faktor yang mana perjalanan karier seorang arkitek yang agak panjang.

Ia mengambil masa 10 tahun sebelum membolehkan seseorang itu bergelar certified architect, berbeza dengan pereka fesyen yang mana masuk kursus dua minggu pun mereka sudah boleh membuat blaus. Jadi, perjalanannya tampak lebih cepat di situ.

Apakah cabaran terbesar yang ditempuhi Datuk sepanjang terlibat dalam bidang ini?

Cabaran dalam industri ini pastinya untuk mengikuti gelombang arus perubahan fesyen memandangkan ia berubah hampir setiap tahun, bahkan bulan. Hari ini mungkin orang akan suka dengan satu-satu rekaan, tetapi esok lusa belum pasti.

Agak sukar untuk sentiasa mengikuti trend dan sentiasa mengeluarkan sesuatu yang baharu.

Mahu berkecimpung dalam dunia fesyen ini mudah dan buatlah apa sahaja baju yang unik dan cantik, ia pasti akan diterima masyarakat dan menjadikan anda popular.

Bagaimanapun, sama ada anda mampu lakukannya ataupun bertahan dalam industri ini.

Itu satu hal lain kerana mahu bertahan dalam industri ini agak sukar biarpun dalam tempoh dua tahun.

Berada dalam industri ini selama 15 tahun membuatkan saya begitu bersyukur.

Lihatlah berapa banyak nama pereka fesyen yang mampu bertahan hingga ke hari ini seperti Datuk Bernard Chandran, Datuk Rizalman Ibrahim,
Rizman Ruzaini dan beberapa nama lain. Selebihnya, sudah tiada kerana sememangnya bukan mudah untuk kekal dalam industri ini.

Paling sukar adalah untuk mengikut trend, lebih-lebih lagi dengan kesukaran untuk memahami kehendak golongan millenial.

Pun begitu, alhamdulillah, saya mempunyai ramai kenalan dan berpeluang mengembara ke negara orang yang memberi ruang buat saya melihat dunia luar.

Seterusnya mengadaptasi apa yang dilihat di sana bersesuaian dengan budaya dan gaya masyarakat kita.

Sebelum terlibat dengan pengeluaran pelitup muka, Datuk dikenali sebagai usahawan dan pereka fesyen terkenal. Apa yang mendorong Datuk begitu komited untuk mengusahakan produk pelitup muka secara berskala besar?

Inilah yang dinamakan rezeki tidak dijangka kerana ia merupakan satu kebetulan. Malahan sepanjang karier, saya tidak pernah terfikir untuk menghasilkan pelitup muka, apatah lagi pelitup muka perubatan.

Sebaliknya memikirkan hanya akan berkembang dengan industri fesyen.
Bukan sahaja pelitup muka perubatan, tetapi saya juga sudah masuk ke dalam industri farmaseutikal.

Kisahnya bermula apabila saya terlihat pelitup muka warna biru di atas meja sewaktu berada di pejabat di awal pandemik melanda negara.

Terdetik di hati saya siapalah yang mahu menggunakan pelitup muka yang kurang menarik untuk tempoh panjang.

Jadi, saya hasilkan pelitup muka menggunakan kain yang cantik kerana kami punyai banyak fabrik.

Pertama kali menghasilkan pelitup muka kain dengan jumlah 800 keping yang dijual secara dalam talian, saya amat terkejut apabila kesemuanya habis dijual dalam tempoh satu jam.

Kami kemudian hasilkan lagi sebanyak 5,000 helai dan ia habis dalam tempoh satu hari.

Situasi itu berterusan dan bermula dengan pelitup muka fabrik, saya menemui individu yang dapat membantu dalam penghasilan pelitup muka pakai buang.

Pun begitu, apabila kami melancarkan pelitup muka pakai buang, saya hanya menempah 2,000 kotak sahaja kerana pada waktu itu banyak jenama besar yang sudah berada di pasaran dan tertanya-tanya adakah produk muka saya ini boleh dijual.

Tetapi tanpa disangka, dalam masa 10 minit sahaja ia habis dijual dan alhamdulillah, pengeluaran masih berterusan sehingga kini.

Sejak Covid-19, saya menghasilkan semua jenis pelitup muka mengikut pilihan individu. Alhamdulillah, sekarang kita mempunyai lebih 6,000 pengedar pelitup muka di seluruh Malaysia.

Mungkin boleh kongsikan kelebihan pelitup muka keluaran Datuk berbanding produk-produk lain di luar sana?

Fabrik pelitup muka ini sememangnya diperbuat daripada kain yang sangat lembut, sejuk, tidak berkuap dan jika digunakan, ia tidak akan menyebabkan rasa tidak selesa, gatal atau berjewarat kerana kita menggunakan teknologi khas.

Jika dilihat ada pelbagai jenis fabrik di pasaran, tetapi sebagai individu yang berlatar belakangkan fesyen, sudah tentu saya akan memilih fabrik berkualiti untuk digunakan pada pelitup muka dalam memastikan keselesaan individu.

Jadi, apabila dipakai biarpun seharian, ia tidak akan menyebabkan alergi pada kulit kerana formula yang digunakan.

Sebab itu jugalah, kami berani mengeluarkan slogan pelitup muka antijerawat kerana yakin dengan formula resipi rahsia yang terhasil daripada pemilihan kain sahaja.

Saya merupakan seorang yang cerewet dengan kualiti.

Apabila menghasilkan baju, saya akan pastikan kain dan perincian pada busana tersebut cantik. Sama juga seperti pelitup muka yang mana ia perlu bagus, tidak memudaratkan individu dan paling penting sekali membuatkan orang ingin membelinya semula.

REKAAN unik hasil tangan Jovian pada baju yang dipakai Perdana Menteri ketika berucap di kaca televisyen sewaktu PKP sebelum ini mendapat perhatian ramai yang mengaitkannya dengan kuih-muih.

Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kemunculan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ditunggu-tunggu setiap hari bukan sahaja kerana ingin mengetahui perkembangan Covid-19, tetapi juga mereka mahu melihat fesyen baju yang mendapat sentuhan Datuk. Apa yang menjadi inspirasi Datuk untuk mereka baju-baju tersebut hingga mendapat perhatian ramai?

Saya memilih batik untuk Perdana Menteri pada waktu itu mengikut selera dan keinginan beliau. Beliau sukakan baju-baju batik yang tampak menonjol, muda dan terang kerana beliau merupakan seorang yang berjiwa muda sebenarnya.

Bagaimanapun ketika PKP, kebetulan jatuh pada bulan Ramadan dan ia membuatkan masyarakat terbayangkan kuih-muih, sehingga ada yang menganggap ia diinspirasikan daripada kuih-muih biarpun hakikatnya tiada. Sebaiknya itu semua diinspirasikan oleh personalitinya sendiri.
Beliau merupakan seorang sangat positif.

Beliau selalu melihat sesuatu dari sudut positif sama seperti Covid-19.

Apabila orang semua sedang tertekan dengan pandemik semasa, beliau cuba mencari cara terbaik untuk menggembirakan individu kerana tidak mahu mereka tertekan.

Pemakaian baju itu merupakan salah satu daripada caranya.

Selepas terbabit dalam bidang farmasi dan ubat-ubatan, selain pengeluaran pelitup muka jenama sendiri, adakah Datuk sudah tidak lagi bergiat aktif dalam fesyen?

Fesyen tetap dihati dan ia merupakan passion saya.

Saya rasa tidak akan hilang nama fesyen di Jovian Mandagie itu, bahkan ia sentiasa ada dan semakin berkembang. Bukan sahaja di bawah jenama Jovian, tetapi kita ada juga jenama baharu dinamakan Afiya.

Jenama kerjasama biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersempena anaknya itu memfokuskan kepada tudung dan aksesori Muslimah.

Selain itu, saya kini dilantik menjadi Pengarah Kreatif jenama Cheetah, salah satu jenama terbesar di Malaysia yang bertapak sejak 1979.

Saya dipertanggungjawabkan untuk memberi nafas baharu kepada Cheetah. Di bawah Cheetah pula saya ada tiga iaitu cheetah, CTH unlimited dan arisa.

Mahu kata saya sudah perlahan dalam fesyen tidak sama sekali, sebaliknya saya kembangkan sayap ke dalam industri lain dan jenama-jenama lain. Bahkan sekarang, tanggungjawab saya di industri fesyen berkembang dan kini sedang memantau rapat lima jenama.

Datuk pernah menjadi pengacara dalam satu program mengenai persiapan perkahwinan dalam salah satu stesen televisyen beberapa tahun lalu. Adakah Datuk masih berminat untuk menjadi pengacara?

Sangat berminat dan jika dapat tawaran, memang saya akan pertimbangkannya.

Bagaimanapun, masalahnya sekarang adalah kekangan masa dan salah satu sebab saya berhenti mengacarakan program Mahligai Cinta selepas tujuh musim pada waktu itu bukan kerana sudah tamat kontrak, tetapi disebabkan ketiadaan masa.

Jangan kata pengacaraan, jadi juri untuk program selama dua jam pun sukar untuk saya beri komited dari segi masa. Tetapi, jika ada masa dan rezeki, memang saya mahu kembali mengacarakan semula kerana saya suka bercakap di hadapan kamera.

MENURUT Jovian, biarpun terlibat dengan bisnes pelitup muka, bidang fesyen tetap di hati dan tidak akan ditinggalkannya.

Apa perancangan Datuk pada masa depan bagi mengembangkan lagi perniagaan dan apa-apa sahaja bidang diceburi?

Dengan adanya Jovian Selcare Pharmacy, saya bercita-cita untuk menjadi rantaian farmasi terbesar di Malaysia, yang mana kita mahu berikan harga mampu milik dan berikan produk berkualiti di bawah brand Jovian Selcare itu sendiri.

Macam sekarang, kita sudah ada pelitup muka, sanitizer, kit percubaan dan akan datang, saya mahu keluarkan minuman kesihatan dan ubat-ubatan
supaya kita boleh jual produk lebih bagus dengan jenama malaysia pada harga berpatutan.

Bukan itu sahaja, saya mahu ia turut menjadi farmasi pertama yang menjalankan kerjasama dengan jenama tempatan.

Jika dilihat Malaysia mempunyai banyak jenama tempatan yang kesemuanya bagus, tetapi hanya dijual secara dalam talian memandangkan kebanyakan farmasi sedia ada tidak mahu mengambil produk-produk tempatan.

Justeru, kita mahu menjadi peneraju yang membantu produk tempatan berada dalam segmen farmasi.

Selain farmaseutikal, saya juga sukakan aplikasi dan saya telah pun bangunkan aplikasi yang membantu pengusaha dari rumah menjalankan perniagaan yang dikenali sebagai HEYHO. Saya lihat home industry begitu membangun tetapi tidak ada satu platform yang benar-benar membantu pengusaha-pengusaha dari rumah ini.

Telah dibangunkan tahun lalu, ia bukan sahaja menjadi ruang pasaran, tetapi turut menawarkan penghantaran, bimbingan perniagaan dan membantu mereka menjadi perniagaan ready digital. Manalah tahu satu hari nanti kita akan berkurung sekali lagi, sekurang-kurangnya perniagaan ini tidak terhenti kerana mereka sudah ready digital. Berbeza dengan semasa pandemik tempoh hari yang mana semuanya menjadi kelam kabut kerana tidak semua perniagaan adalah digitalize.

Nasihat Datuk kepada anak muda yang ingin berkecimpung dalam dunia fesyen?

Nasihat saya secara keseluruhan untuk semua anak muda yang mahu berkecimpung di dalam tidak kisahlah sama ada dunia fesyen atau yang lain.

Tiada yang mudah di dalam perniagaan dan semuanya perlu dilakukan dengan kerja keras dan bersabar kerana dunia ini ada naik turunnya.

Paling penting usaha, bijak menjaga reputasi, pandai menjaga pelanggan dan faham apa yang mereka perlukan. Mereka juga perlu pandai, sayang dan guide pasukan dengan baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN