fbpx

Ukraine perlukan lebih RM30 bilion sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YELLEN dan Shmyhal bergambar sebelum perbincangan di Jabatan Perbendaharaan, Washington kelmarin. - AFP

KIEV – Ukraine memerlukan dana AS$7 bilion (RM30.14 bilion) sebulan untuk mengapungkan ekonominya berikutan ‘kerugian ekonomi’ angkara Rusia, kata Presiden Volodymyr Zelenskyy kelmarin.

Tentera Rusia mahu memusnahkan semua objek di Ukraine yang boleh berfungsi sebagai asas  ekonomi termasuk stesen kereta api, gudang makanan dan loji penapisan minyak, kata Zelenskyy kepada pemimpin Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam   sidang video bagi membincangkan talian hayat kewangan untuk Kiev.

Terdahulu, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Janet Yellen mengumumkan bantuan berjumlah AS$500 juta (RM2.15 bilion) untuk membantu Ukraine meneruskan pembayaran gaji, pencen dan perkhidmatan lain.

Yellen memperincikan bantuan itu susulan pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Ukraine, Denys Shmyhal dan Menteri Kewangan, Sergiy Marchenko. Katanya, kerajaan Ukraine mesti dibantu supaya dapat terus berfungsi semasa pencerobohan Rusia.

“Kami akan mengagihkan bantuan secara langsung kepada Ukraine dalam masa terdekat untuk digunakan bagi keperluan yang paling mendesak,” kata Yellen.

Bantuan AS itu menyusul selepas Washington menawarkan pakej sokongan  juga berjumlah AS$500 juta kepada Kiev bulan lalu. Negara-negara Barat bersama IMF dan Bank Dunia kini  meningkatkan bantuan kepada Ukraine ketika pertempuran sengit berlaku di timur dan selatan negara itu.

Dalam sidang video sama yang dihoskan oleh Presiden Bank Dunia, David Malpass, Shmyhal berkata, Ukraine memerlukan ‘jambatan kewangan’ mencecah AS$5 bilion (RM21.53 bilion) sebulan untuk tempoh lima bulan akan datang.

Beliau juga menggesa ‘pelan pemulihan’ untuk Ukraine, menyerupai Pelan Marshall yang dilaksanakan bagi membantu ekonomi Eropah selepas Perang Dunia Kedua.

Zelenskyy pula menggesa lebih banyak bekalan senjata dan berkata,  Ukraine masih kekurangan senjatan walaupun Barat telah menyalurkan bantuan ketenteraan berjumlah berbilion-bilion dolar  yang memaksa Rusia mengalihkan serangan dari Kiev ke timur negara itu. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI