fbpx

Jual ayam, ikan busuk, stok makanan disimpan dengan najis haiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Akmal turut terkejut dengan penemuan najis haiwan yang dibiarkan sehingga kering di kawasan penyimpanan beras.

JASIN – Sebuah gudang pasar raya di sini diarahkan tutup serta-merta selepas dikesan menyimpan stok bekalan makanan bersama-sama longgokkan najis haiwan yang dibiarkan sehingga kering dan menjijikkan.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi tadi, pasar raya tersebut turut dikesan menyimpan ayam dan ikan busuk sehingga beku, selain makanan yang telah tamat tarikh luput pada 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, serbuan oleh Jabatan Kesihatan negeri (JKN) itu dilakukan selepas mendapat aduan daripada penduduk berhubung kualiti dan kebersihan produk dijual.

Katanya, hasil pemeriksaan, kesemua pegawai penguat kuasa JKN turut terkejut dengan penemuan longgokkan najis haiwan dipercayai kucing di gudang pasar raya, selain ayam dan ikan busuk yang disimpan di tempat makanan sejuk beku.

“Hari ini kami semua amat terkejut dan kecewa dengan pihak pasar raya ini kerana sanggup menjual pelbagai produk makanan yang rosak serta menyimpan stok bekalan dalam keadaan kotor bersama-sama najis haiwan.

“Kesalahan ini sangat melampau dan kita telah arahkan gudang penyimpanan tersebut ditutup serta-merta sehingga kita berpuas hati dengan tahap kebersihan premis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai serbuan Ops Raya 22 bersama-sama Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman.

Beliau berkata, kesalahan itu juga adalah disengajakan oleh pemilik premis kerana najis haiwan itu tidak dibersihkan, sebaliknya hanya dikambus menggunakan beras dan dibiarkan sehingga kering.

“Kesalahan ini tiada kompromi, kita akan ambil tindakan serius dan setakat ini sebanyak tiga kompaun bernilai RM9,500 telah dikeluarkan kepada pemilik premis.

“Sebanyak 279 barang bernilai RM1,949.79 turut disita atas kesalahan tamat tarikh luput, perlabelan, makanan rosak dan pembungkusan,” katanya.

Tambahnya, tindakan itu dibuat mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI