fbpx
ROSLAN (kiri) melihat buluh-buluhnya yang ditempah di Kedah ketika ditemui di Balik Pulau semalam.

Buluh lemang, beras pulut naik harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU – Peniaga lemang di negeri ini berdepan dilema dengan kenaikan harga buluh dan beras pulut hampir dua kali ganda menjelang Aidilfitri ini sehingga memaksa mereka me­nempahnya dari luar daerah.

Seorang peniaga lemang Bukit Selambau, Balik Pulau, Roslan Hashim, 47, berkata, dia terpaksa menerima hakikat akan kenaikan harga sepotong atau katam buluh sehingga 80 sen menjadi RM2.80 sebatang.

Sementara itu, beras pulut Siam pula dikatakan dijual RM6.80 sekilogram berbanding RM4.50 tahun lalu.

Menurutnya, dia bagaimanapun tidak dapat mengelak pene­tapan harga baharu daripada pembekal buluh dan peruncit berikutan sudah menerima kira-kira 600 tempahan juadah wajib itu daripada pelanggan tetap sejak awal Ramadan lalu.

“Memang pening kepala juga fikir kenaikan harga barang utama berniaga itu sehingga memaksa kami cari bekalan buluh hingga di Bukit Selambau, Kedah tahun ini.

“Biasa kami hanya akan tempah stok buluh di negeri ini saja iaitu di Balik Pulau, namun sebab harga yang tinggi, kami terpaksa turun ambil sendiri daripada pembekal di Kedah.

“Ini bagi elak dikenakan caj lebih tinggi daripada pembekal iaitu sehingga RM3.50 sebatang termasuk kos penghantaran, tol dan minyak untuk ke sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ujar Roslan, meskipun berdepan dengan trend kenaikan mendadak, dia tetap kekalkan harga lama bagi sebatang lemang warisannya iaitu RM20 dan RM25.

Sementara itu, seorang lagi peniaga lemang di Batu Uban, Siti Zabidah Yasak, 47, pula berkata, bukan sahaja harga bekalan buluh dan beras pulut naik, santan serta daun pisang juga dikatakan naik mendadak.

“Susah berniaga tahun ini, semua barang naik harga, kami kena memandu sendiri ke Kedah cari barang lebih murah,” ujarnya.

POPULAR