DALAM dunia yang semakin dipacu oleh digitalisasi, platform media sosial menjadi medan untuk menegur atau menyuarakan pandangan walaupun ada kalanya tanpa mengambil kira sensitiviti serta adab dalam masyarakat.
Situasi ini dapat dilihat apabila segelintir Generasi Z (Gen Z) mula mempersoalkan beberapa amalan yang dianggap janggal ketika sambutan Aidilfitri.
Berdasarkan tinjauan, antara perkara yang dikritik oleh Gen Z termasuk kunjungan tetamu dalam jumlah kenderaan yang banyak secara serentak, datang ziarah seawal pukul 10 pagi, serta meminta air kosong.
Fenomena ini menunjukkan wujudnya jurang pandangan antara generasi, khususnya apabila generasi muda dilihat kurang menitikberatkan adab bertamu, manakala generasi lebih berusia pula cenderung mempertahankan nilai tradisi.
Menurut Dekan Fakulti Syariah dan Muamalat, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Profesor Madya Dr. Mohd Azhar Abdullah secara asasnya, perbuatan mengkritik atau menyindir tetamu di media sosial termasuk dalam kategori mengaibkan orang lain, sekiranya ia membawa kepada pendedahan kelemahan, kesalahan atau kekurangan individu di hadapan umum.
“Dalam Islam, memuliakan tetamu tuntutan iman. Rasulullah SAW bersabda bahawa sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah memuliakan tetamunya.
“Ini menunjukkan bahawa adab bertamu dan melayani tetamu bukan sekadar budaya, tetapi nilai agama yang tinggi dan halus sifatnya.
“Hubungan bertamu lazimnya berlaku dalam lingkungan keluarga, jiran dan kenalan rapat. Dalam situasi ini, tidak dapat dinafikan ada perkara yang mungkin kurang menyenangkan berlaku,” katanya kepada Kosmo!.
Mohd. Azhar berkata, menjadikan media sosial sebagai medium sindiran terbuka bukanlah jalan penyelesaian.
“Imam al-Ghazali menegaskan jika keaiban yang berlaku dalam ruang tertutup sepatutnya kekal dalam ruang tersebut.
“Menyebarkannya ke ruang awam, termasuk media sosial, bertentangan dengan adab menjaga maruah dan kehormatan sesama Muslim.
“Ia bukan sahaja boleh mengeruhkan hubungan, bahkan membuka ruang kepada dosa yang berpanjangan, kerana setiap perkongsian berpotensi terus tersebar dan diulang baca,” katanya.
Islam tidak menafikan keharusan menegur kesalahan. Namun, teguran perlu ikhlas, berhikmah, menjaga perasaan, serta mengutamakan pendekatan peribadi berbanding pendedahan umum.
Dalam keadaan tertentu, pendedahan dibenarkan jika bertujuan memberi peringatan kepada masyarakat, tetapi ia mestilah bebas daripada unsur menghina, tidak bersifat peribadi dan tidak membawa kepada mudarat lebih besar.
Kongsinya, generasi muda perlu dididik dengan adab dan nilai, manakala generasi lebih berpengalaman pula wajar membimbing dengan hikmah dan kasih sayang, bukan melalui sindiran terbuka.
“Teguran yang benar ialah yang mendidik, menjaga perasaan dan mengutamakan pendekatan peribadi,” katanya.














