Bilakah sepatutnya kita bersahur dan bilakah patut berhenti?
Jawapan:
Kita disunnahkan untuk melewatkan sahur. Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam. Ini seperti firman Allah yang bermaksud:
“Pada waktu sahur mereka memohon keampunan,” (Surah Ali ‘Imran: 17).
Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan, sebaliknya disunnahkan melewatkannya.
Kata Zaid bin Thabit:
“Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh).” Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara azan dan sahur tersebut?” Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran),” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya sahur Nabi s.a.w.
Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Pada tempoh itulah, Nabi s.a.w menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.
Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu subuh.
Andaian bahawa puasa itu mesti bermula 10 atau 20 minit sebelum subuh adalah tidak tepat.
Hadis Zaid di atas tadi, bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi s.a.w yang dilihat oleh Zaid.
Buktinya, Aisyah r.a menyebut:
“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh),” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan, pada zaman Nabi s.a.w ada dua kali azan bagi waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam terutamanya Mekah dan Madinah.
Azan pertama sebelum masuk waktu, ia dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi s.a.w yang merupakan seorang buta iaitu Abdullah ibn Ummi Maktum.
Maka Nabi s.a.w mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga azan kedua, masuk waktu subuh sebenar, maka barulah berhenti.
Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan:
“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam,” (Surah al-Baqarah: 187).
Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh.
Dalam riwayat Muslim, Nabi s.a.w bersabda:
“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih yang memanjang sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar).”
Maka berdasar al-Quran dan hadis-hadis di atas, juga pelbagai riwayat lain, waktu ‘imsak’ sebenarnya bermula apabila masuknya waktu subuh, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelumnya.
Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum masuk, sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh makan sahur sehingga masuk waktu subuh.














