fbpx

[VIDEO] Pejalan kaki ‘hilang’ selepas kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar seorang lelaki yang melompat ke arah cermin kereta dalam kejadian Klang, minggu lalu.

KLANG – Polis sedang mengesan seorang pejalan kaki lelaki yang menghilangkan diri selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Goh Hock Huat di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kejadian itu tular menerusi satu video berdurasi 45 saat di sebuah laman Facebook persatuan penduduk semalam.

Katanya, siasatan mendapati seorang lelaki yang memandu kereta itu tampil membuat laporan polis mengenai kemalangan berkenaan, kira-kira pukul 12.08 tengah hari, 7 April lalu.

“Berdasarkan laporan itu, seorang lelaki tidak dikenali yang berada di tengah jalan tiba-tiba melintas dan terus berlari melompat ke arah cermin depan kereta tersebut.

“Sejurus kemalangan, pengadu memaklumkan kepada pejalan kaki itu bahawa keretanya mempunyai rakaman kamera papan pemuka lalu lelaki berkenaan terus beredar dengan hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Vijaya Rao, pencarian lelaki itu dilakukan pihaknya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan klinik berdekatan.

“Namun, lelaki berkenaan didapati tidak menerima sebarang rawatan di mana-mana pusat perubatan.

“Selain itu, tiada saksi tampil bagi membantu siasatan setakat ini,” ujarnya.

Tambah beliau, kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Sehubungan itu, Vijaya meminta saksi kejadian yang mempunyai maklumat supaya tampil di balai polis berhampiran bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan mengesan pejalan kaki berkenaan. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI