fbpx

2 juta belia bakal terima manfaat ePemula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) sambil diiringi Tengku Zafrul ( dua kiri) dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (tiga kanan) bergambar bersama wakil syarikat e-Dompet pada Majlis Pelancaran ePemula di MMU Cyberjaya.

CYBERJAYA – Seramai 2 juta orang belia di seluruh negara dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif program ePemula di bawah Bajet 2022 yang dilancarkan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program yang memperuntukkan dana sebanyak RM300 juta itu bertujuan memupuk budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia di samping meringankan beban kewangan Keluarga Malaysia.

“Proses semakan kelayakan serta tuntutan kredit ini telah pun dibuka pada 11 April lalu dan belia yang layak akan mendapat kredit sebanyak RM150 dalam e-dompet pilihan mereka, iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay atau Touch ‘n Go eWallet.

“Kerajaan berharap, golongan belia yang layak akan berbelanja secara bijak dan menggunakan kredit RM150 tersebut untuk menyokong perniagaan para pengusaha tempatan, terutamanya usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar mereka dapat pulih sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran e-Pemula di Universiti Multimedia di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan komited untuk terus menggalakkan pembayaran secara elektronik dalam kalangan peniaga dan pengguna bagi mewujudkan masyarakat Keluarga Malaysia tanpa tunai.

“Bagi merealisasikan ‘Kewangan Untuk Semua’ seperti dalam Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026, pelbagai inisiatif utama di bawah Bajet 2022 bakal menyemarakkan usaha digitalisasi dalam kalangan Keluarga Malaysia.

“Saya menyarankan kesemua usahawan, khasnya PMKS mengamalkan urus niaga tanpa tunai terutamanya ketika Fasa Peralihan ke Endemik untuk membolehkan transaksi di kedai-kedai fizikal lebih mudah, cepat dan lebih selamat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,sedang merangka Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia untuk memantapkan peranan anak muda dalam pembangunan negara.

“Akademi Pembangunan Belia Malaysia dan beberapa Kompleks Belia dan Sukan akan dinaik taraf manakala pusat belia wilayah yang pertama di Malaysia akan dibina bagi merancakkan lagi program dan aktiviti belia.

“Buat masa ini, melalui Bajet 2022, secara keseluruhan, sekurang-kurangnya RM1.2 bilion telah diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif bagi memanfaatkan golongan belia,”jelas beliau.

Ismail Sabri berkata, inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia akan membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi melibatkan kos RM450 juta mulai Jun ini yang bakal dimanfaatkan oleh kira-kira 350,000 mahasiswa.

“Majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun pula akan diberi insentif sebanyak RM900 sebulan selama enam bulan, iaitu meningkat berbanding RM800.

“Bagi belia yang cenderung ke arah keusahawanan pula, kerajaan menyediakan pelan pembiayaan bernilai RM150 juta khusus untuk belia melalui Bank Simpanan Nasional dan Agrobank,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, keempat-empat e-Dompet yang mengambil bahagian melalui Program ePemula iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet ini boleh digunakan melalui jaringan peniagaan runcit yang melebihi 1.2 juta touchpoints.

“Jaringan yang luas ini akan memastikan pelaksanaan ePemula secara menyeluruh di seluruh negara, termasuk di bandar-bandar kecil, lantas memanfaatkan lebih ramai belia dan pelajar, selain membudayakan satu sistem pembayaran tanpa tunai yang lebih mudah, telus dan selamat.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI