fbpx
Tangkap layar yang menunjukkan sebuah kenderaan jenis Toyota C-HR merempuh sebuah motosikal sebelum bertindak meninggalkan lokasi kejadian dipercayai berlaku di sekitar Iskandar Puteri, Johor, 11 April lalu.

Polis cari pemandu Toyota C-HR langgar motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Polis sedang mengesan pemandu kenderaan jenis Toyota C-HR berwarna merah yang terlibat dalam satu kejadian langgar lari dipercayai berlaku di sekitar bandar raya ini, pada 11 April lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya mengesan kejadian berkenaan melalui satu rakaman video yang tular di media sosial, semalam.

Katanya, pemandu kenderaan telah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

“Pada pukul 10 malam, 13 April, polis mengesan satu video dalam laman Facebook Jabatan Netizen Negara (Official) memaparkan sebuah kenderaan terlibat dalam kemalangan langgar lari dengan sebuah motosikal.

“Hasil semakan mendapati, dua laporan polis telah dibuat bersangkut kes langgar lari, yang pertama di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam manakala kejadian kedua di Persiaran Ledang, Iskandar Puteri pada 11 April, lebih kurang 9.30 malam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah rakaman video berdurasi 34 dan 24 saat yang mana salah satu daripadanya menunjukkan kenderaan jenis Toyota C-HR berkenaan merempuh sebuah motosikal selepas melakukan pusingan U sebelum meninggalkan lokasi kejadian. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN