fbpx
Dibintangi pelakon Sandra Bullock, Channing Tatum. Daniel Radcliffe dan aktor berpengalaman, Brad Pitt, semestinya perihal tersebut merupakan satu nilai tambah untuk para audiens bergegas mahu menyaksikan The Lost City.

Pengembaraan klise, melucukan The Lost City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NASKHAH The Lost City arahan sutradara Adam Nee pertama kali menyatukan dua bintang ternama, iaitu Sandra Bullock dan Channing Tatum dalam sebuah kisah dan hasilnya tidak menghampakan.

Bertemakan pengembaraan komedi, filem berkenaan turut dibintangi pelakon Daniel Radcliffe dan aktor berpengalaman, Brad Pitt. Semestinya perihal tersebut merupakan satu nilai tambah untuk para audiens bergegas ke panggung wayang.

KESERASIAN antara Sandra Bullock dan Channing Tatum langsung tiada cacat cela walaupun mereka mempunyai jurang usia yang agak banyak.

Pertama sekali, dari segi terjemahan lakonan, kesemua pelakon terlibat memberikan komitmen dan kerjasama terbaik. Cetusan kimia antara dua karakter utamanya iaitu Loretta Sage lakonan Sandra dan Alan Caprison (Channing) benar-benar ‘menjadi’ dan membuatkan hati setiap penonton berbunga-bunga.

Banyak kualiti keserasian antara Sandra dan Channing yang boleh meresap ke jiwa. Menghabiskan masa menonton filem berdurasi 112 minit tersebut juga buat penulis secara peribadi, biarpun jurang usia antara kedua-dua pelakon itu agak jauh, isu usia langsung tidak menjadi masalah.

Naratif karakter Loretta dan Alan juga memberi kesedaran kepada penonton bahawa kadang-kadang, kita mengharapkan sesuatu yang luar daripada jangkaan, sedangkan apa yang selama ini dicari, terbentang di depan mata.

PELAKON Brat Pitt (belakang sekali) memberi satu impak besar terhadap filem The Lost City walaupun muncul hanya dalam beberapa babak.

Brad Pitt ‘sekejap’tapi berbekas

Masih tentang lakonan, Brad Pitt yang membawakan karakter ‘pengesan manusia’ bernama Jack Trainer memberikan impaknya yang tersendiri. Biarpun kemunculannya terlalu sedikit, aktor itu berjayakan mencernakan peranannya dengan sehabis baik dan penuh karisma.

Dalam pada itu, tentang karakter antagonis bernama Abigail Fairfax yang dilakonkan Daniel Radcliffe, sebenarnya rasa sedikit kekok melihat pelakon yang cukup sinonim dengan francais filem Harry Potter itu memainkan peranan penjahat. Bagaimanapun, tercetus juga satu dimensi baharu dalam kerjaya lakonannya.

Daniel menjayakan watak Abigail dengan gayanya tersendiri dan itu memberi impak yang cukup luar biasa untuk tatapan penonton.

MEMBAWAKAN watak jahat, pelakon Daniel Radcliffe sebenarnya membina satu dimensi baharu dalam kariernya menerusi The Lost City.

Jalan cerita mudah diramal

Dari segi jalan cerita, menjual elemen romantis, komedi dan pengembaraan sebenarnya sudah terlalu klise untuk dipersembahkan. Lebih-lebih bercerita tentang pencarian harta karun purba.

Itulah yang dipersembahkan The Lost City. Sebuah filem pengembaraan komedi yang awal dan akhirnya sudah boleh diramal penonton.

Kehadiran naskhah sedemikian tidak salah, namun nampaknya Hollywood pun ada ketikanya kering idea untuk dunia sinematik mereka.

Pun begitu, The Lost City bukan sebuah filem yang tidak menjadi saranan untuk ditonton.

Jika inginkan kisah yang tidak berselirat, mudah difahami dan menderaskan adrenalin keseronokan, tontonlah filem ini yang telah ditayangkan mulai 7 April lalu.

POPULAR