fbpx
Paparan sistem kawalan orang ramai dapat memantau jumlah kemasukan pengunjung ke bazar Ramadan pada satu-satu masa.

Teknologi kawal kehadiran orang ramai di bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DARI jauh kelihatan orang ramai beratur dan menunggu giliran untuk memasuki bazar Ramadan di SS 6/1, Kelana Jaya, Selangor.

Di hadapan pintu masuk bazar tersebut tersedia sebuah skrin yang memaparkan jumlah semasa pengunjung yang masuk dan keluar.

“Walaupun terpaksa beratur untuk masuk ke dalam bazar ini, ia tidak menjadi masalah kepada saya.

“Malah, tempoh untuk beratur juga tidak lama. Skrin yang tersedia di pintu masuk bazar ini membolehkan kami melihat jumlah semasa pengunjung yang telah dibenarkan masuk,” kata seorang pengunjung, Mohd. Akmal Azmi, 28.

Mohd. Akmal menyatakan, dia teruja melihat sistem tersebut yang digunakan dalam mengawal kemasukan pengunjung ke bazar tersebut.

Katanya, negara masih belum bebas sepenuhnya daripada Covid-19 dan pelaksanaan sistem itu dapat mengawal pengunjung agar tidak bersesak-sesak di bazar berkenaan.

“Sebagai pengunjung, saya berasa lebih selesa untuk memilih juadah berbuka di bazar Ramadan ini kerana situasi di dalamnya lebih terkawal,” ujarnya.

Sistem Kawalan Orang Ramai (CCS) yang diperkenalkan itu adalah usaha Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam mengekang penularan Covid-19 di bazar Ramadan.

Ia diletakkan di dua lokasi bazar Ramadan di bawah seliaannya iaitu di SS 6/1 Kelana Jaya dan Seksyen 4, Kota Damansara.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md. Amir berkata, walaupun negara telah menuju ke fasa endemik, namun perjuangan mengekang Covid-19 masih lagi berjalan.

Katanya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, pihaknya mendapati dua lokasi bazar Ramadan tersebut menjadi lokasi utama ramai pengunjung untuk mendapatkan juadah berbuka.

MOHAMAD AZHAN

Malah, pada tahun lalu, bazar Ramadan di Kelana Jaya mencatatkan jumlah pengunjung lebih 38,000 orang dan di Kota Damansara pula hampir 30,000 pengunjung.

“Oleh itu, dalam mengekang penularan Covid-19 dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, kami telah menggunakan sistem tersebut di kedua-dua bazar ini.

“Melalui sistem ini, kita dapat mengawal kemasukan pengunjung dalam satu-satu masa, sekali gus memberi lebih keselesaan untuk membeli makanan,” jelasnya.

Dalam pada itu, sistem CCS yang menggunakan fungsi infra merah itu mengawal bilangan pengunjung yang hadir melalui kiraan automatik.

Selain itu, sistem tersebut turut dilengkapi dengan paparan papan pemuka yang disiarkan pada skrin di pintu masuk bagi memaparkan maklumat keberadaan pengunjung dan maklumat tersebut akan digunakan dalam pematuhan SOP.

Mohamad Azhan berkata, sistem tersebut mempunyai fungsi seperti lampu isyarat yang memaparkan tiga tanda warna bagi menunjukkan tahap keberadaan pengunjung.

“Warna hijau menunjukkan situasi pengunjung terkawal dan masih ada ruang kosong untuk masuk, manakala warna kuning pula memaklumkan jumlah pengunjung telah memenuhi separuh daripada kapasiti bazar Ramadan.

“Warna merah memberi isyarat bahawa pengunjung telah memenuhi keseluruhan kapasiti bazar,” jelasnya.

BAZAR Ramadan di SS 6/1, Kelana Jaya boleh menampung kehadiran seramai 500 pengunjung pada satu-satu masa.

Tambahnya, sistem itu membolehkan pihaknya mengawal jumlah kemasukan pengunjung ke bazar dengan lebih teratur berbanding tahun-tahun sebelum ini yang hanya menggunakan kaedah kiraan manual.

Dalam pada itu, untuk jumlah kapasiti pengunjung yang dibenarkan pada satu-satu masa di bazar Ramadan di SS 6/1, Kelana Jaya adalah sebanyak 500 orang dan bagi Seksyen 4, Kota Damansara pula 200 orang.

Jelas Mohamad Azhan, sistem yang digunakan itu dibangunkan oleh sebuah syarikat swasta dan pihaknya mencuba keberkesanannya terlebih dahulu sebelum meletakkannya di dua bazar Ramadan terbabit.

“Buat masa ini, sistem tersebut disewa oleh MBPJ dengan kadar sewaan sebanyak RM20,000 untuk satu bazar Ramadan.

“Jika sistem ini ternyata bagus dalam mengawal kemasukan pengunjung dan kita mempunyai peruntukan mengizinkan, kita akan mengambil kira untuk digunakan di bazar-bazar Ramadan lain di bawah seliaan kami pada masa hadapan,” terangnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sempena Ramadan kali ini, pihaknya sekali lagi meneruskan inisiatif pemberian kupon sebanyak RM15 kepada pengunjung bazar yang membawa bekas makanan atau beg kitar semula.

“Ini bagi mengurangkan penggunaan polistirena dan beg plastik.

“Usaha ini selaras dengan inisiatif Go Green dan Kempen Bebas Beg Plastik di Petaling Jaya.

“Inisiatif yang dilaksanakan ini juga menyokong agenda kerajaan negeri Selangor dalam usaha memotivasikan dan mendidik masyarakat mengenai penjagaan alam sekitar,” jelasnya.

MOHAMAD AZHAN bertanya khabar kepada peniaga yang menjual makanan.

Tambahnya, MBPJ turut melaksanakan Kempen Pengumpulan Minyak Masak Terpakai yang merupakan satu inisiatif untuk mempromosikan cara hidup lestari ke arah mewujudkan masyarakat Petaling Jaya yang prihatin terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Di samping itu, pihaknya juga menyediakan lokasi pengumpulan minyak masak terpakai sempena Ramadan ini di beberapa bazar Ramadan.

Dalam pada itu, seorang peniaga bazar Ramadan, Elias Ismail, 45, menyambut baik pelaksanaan sistem CCS oleh MBPJ.

Menurutnya, sistem tersebut sedikit sebanyak membolehkan pengunjung menjaga jarak dalam usaha mengelak penularan Covid-19.

“Selain itu, pengunjung juga akan berasa lebih selesa tanpa perlu berhimpit-himpit ketika memilih juadah.

“Kami sebagai peniaga mempunyai masa untuk melayan pengunjung apabila mereka masuk ke dalam bazar secara berperingkat,” ulasnya.

Selain itu, Elias juga memuji usaha pihak MBPJ yang memberi inisiatif kupon kepada pengunjung bazar yang membawa bekas sendiri.

Inisiatif itu akan membuatkan pengunjung yang hadir berbelanja lebih dan peniaga yang akan mendapat manfaatnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN