fbpx

Sherry Ibrahim terpaksa ‘korek’ duit simpanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHERRY IBRAHIM

PETALING JAYA – Pelakon Sherry Ibrahim bersyukur apabila masih mampu mempertahankan perniagaan salun rambut miliknya yang terletak di Publika Shopping Gallery, Kuala Lumpur walaupun terpaksa menggunakan duit simpanan sendiri untuk membayar sewa kedai dan gaji pekerjanya.

Sherry atau nama lengkapnya Syarizad Ibrahim, 39, memberitahu, ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, dia hilang punca pendapatan selepas perniagaannya tidak boleh beroperasi.

“Saya pernah lalui situasi ‘zero income’ ketika pandemik sebelum ini. Untuk meneruskan kehidupan, saya terpaksa buat apa sahaja ketika itu seperti menjual produk-produk di salun.

“Saya juga terpaksa menggunakan duit simpanan sendiri untuk membayar sewa kedai dan membayar gaji empat orang pekerja saya,” ujarnya.

Ujar pelakon drama Teduhan Kasih itu, dia enggan memberhentikan pekerjanya walaupun diri sendiri bergelut dengan kesukaran kerana bersimpati dengan nasib mereka.

“Walaupun diri sendiri berdepan kesukaran, saya cuba untuk mempertahankan perniagaan dan pekerja-pekerja saya.

“Saya tidak tergamak untuk memberhentikan mereka (pekerja) kerana perlu juga memikirkan nasib mereka. Saya percaya jika seorang majikan sayang kepada pekerjanya, mereka juga akan lebih menghargai kita,” ujarnya ketika ditemui di sidang media & majlis berbuka puasa Adhoc Raya 2022 di Riverside, WTCKL baru-baru ini.

Pada masa sama, Sherry turut bersyukur berkat doa dan usahanya membolehkan perniagaan yang diusahakan itu dapat dipertahankan dan sudah pun boleh beroperasi seperti biasa.

Dalam perkembangan lain, Sherry yang juga salah seorang peserta The Masked Singer musim kedua (TMS2) memberitahu dia baru sahaja selesai merakamkan lagu duet bersama seorang penyanyi untuk dijadikan OST bagi sebuah drama.

Ujar bekas pramugari itu, program TMS telah membuka matanya untuk lebih menyerlahkan bakat dalam bidang nyanyian dan akan kembali serius dalam bidang tersebut.

“Penyertaan dalam TMS telah membuka hati saya untuk lebih serius dalam bidang nyanyian. Bukan bermakna saya tamak dan nak buat semua perkara, tetapi saya mahu serlahkan bakat dalam bidang nyanyian ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI