fbpx

Segerakan rang undang-undang anti lompat parti – CAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohideen.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kecewa dengan pembentangan Perlembagaan Persekutuan (Pindaan ) 2022 rang undang-undang anti lompat parti di Parlimen yang ditangguhkan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya amat berharap rang undang-undang itu diluluskan dengan segera memandangkan lompat parti berleluasa dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, terutama sekali beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, tindakan melompat parti atau penjajaran semula kesetiaan adalah dilihat sebagai pengkhianatan secara terang-terangan kepada kepercayaan pengundi.

“Pengundi mengundi ahli politik berdasarkan kepada siapa yang mereka mahu untuk mewakili mereka atau parti yang diwakili oleh ahli politik itu untuk berkhidmat sehingga pilihan raya akan datang.

“Inilah alasan kenapa calon politik bertanding bagi pilihan raya yang dikenal pasti dengan nama calon serta logo parti yang bergabung dengannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, adalah amat tidak beretika bagi calon yang dipilih untuk bertukar parti atau kesetiaan selepas diundi kerana terdapat keadaan di mana pengundi mengundi parti tanpa mengira calon.

“Jika wakil rakyat yang dipilih memutuskan untuk menyertai parti lain, adalah lebih baik bagi beliau untuk mengosongkan kerusinya bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

“Wakil rakyat bebas seharusnya tidak dibenarkan untuk menyertai sebarang parti selepas pilihan raya kerana dengan membenarkannya, wakil rakyat bebas mungkin menggunakan undi yang dimenangi mereka untuk menyokong parti yang kalah sedikit untuk mengimbangkan kuasa,” katanya.

Beliau berkata, sebaliknya, pengundi sendiri mestilah ditadbir oleh prinsip yang betul dan tidak condong kepada parti.

“Mereka mesti menilai wakil rakyat mereka. Mereka mestilah menjadi warganegara yang aktif, terlibat dalam isu di kawasan mereka dan sentiasa meneliti prestasi wakil rakyat mereka.

“Pengundi hendaklah tidak menunggu pemberian daripada wakil rakyat mereka dan bagi semua perhimpunan perayaan yang dianjurkan oleh ahli politik atau pemberian angpau,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI