fbpx

Kenakan cukai makanan tidak sihat atasi obesiti kanak-kanak, dewasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohideen (dua dari kiri) pada sidang akhbar di pejabat CAP, hari ini.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa memperkenalkan cukai ke atas makanan tidak sihat sebagai langkah membendung obesiti dan isu kesihatan dalam kalangan dewasa serta kanak-kanak terutama pelajar sekolah.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan mendapati obesiti dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia adalah kedua tertinggi di negara ASEAN dan jumlahnya kini dikatakan semakin membimbangkan.

Menurutnya, kebimbangan paling utama adalah kesan produk makanan dan minuman ultra proses (UPF) terhadap penambahan berat badan serta risiko menghidapi penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Salah satu UPF yang paling popular di negara ini adalah mi segera, sosej, nuget dan daging diproses, yang boleh didapati pada harga murah, pelbagai perisa dan bentuk serta masak dalam beberapa minit.

“Menurut Persatuan Mi Segera Dunia (WINA), Malaysia menduduki tempat ke-13 dalam penggunaan mi segera global pada 2023 dengan 1,640 juta hidangan,” katanya pada sidang akhbar di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, katanya lagi, analisis penilaian sejawat baharu oleh Imperial Collage Business School juga mendedahkan perlaksanan cukai ke atas makanan yang tinggi kandungan lemak, garan atau gula (HSFF) termasuk UPF, boleh mengurangkan penjualan dan pengambilannya.

“Ini yang boleh membawa kepada kadar obesiti dan masalah kesihatan berkaitan diet yang lebih rendah terutamanya apabila digabungkan dengan subsidi bagi makanan yang lebih sihat.

“Sehingga kini, sebanyak 16 negara telah melaksanakan cukai itu, antaranya Mexico, Amerika Syarikat, Denmark dan Belanda,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa supaya pihak berkuasa seharusnya mengharamkan terus penjualan menu makanan tidak sihat terutama yang dipasarkan secara tersembunyi atau terbuka di kantin mahupun di luar pekarangan sekolah.

“CAP juga mencadangkan agar pihak terbabit juga menyediakan subsidi bagi makanan sihat, segar atau diproses secara minimum bagi isi rumah berpendapatan rendah.

Julai lalu, media melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan prevalen bantut dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa telah menunjukkan peningkatan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, prevalen berlebihan berat badan dalam kalangan murid berumur 10 hingga 17 tahun turut meningkat daripada 14.6 peratus pada 2012 kepada 15.6 peratus pada 2017.

Prevalen obes juga meningkat daripada 12.3 peratus pada 2012 kepada 14.8 peratus pada 2017. Data itu menunjukkan bahawa satu daripada tiga orang murid sekolah mengalami sama ada masalah berlebihan berat badan atau obes. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI