fbpx
BABY SHIMA

Saya ada akal, jaga batas, hormat Ramadan – Baby Shima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERUS-terusan menjadi sasaran netizen, pastinya si cantik bernama Baby Shima itu seakan-akan sudah lali dan terbiasa.

Gerak-gerinya sering menarik perhatian ramai yang akhirnya menjadi modal untuk dihamburkan dengan kejian. Sebut sahaja nama Baby Shima. Ada sahaja benda kurang enak melekat pada akal fikiran netizen tentangnya.

Bermula dengan video berjoget-joget dikatakan bagai manusia kurang siuman, didakwa mencacah tahu pada dada, menjual arak, tiada empati terhadap orang kelainan upaya (OKU) dan sering menjadi ‘penyedap’ mata lelaki gatal, semua itu antara tohmahan yang sudah dihadam lumat oleh Baby Shima.

Kata Shima, kecamlah selagi mana hendak kecam, asalkan tidak melibatkan nama keluarga, semuanya itu ibarat mencurahkan air ke daun keladi buatnya.

“Apa saya boleh buat. Shima adalah Shima. Apa yang anda tonton dan nampak dalam media sosial itulah saya. Itulah diri saya.

“Tak kan saya nak propa dan berpura-pura dengan netizen. Setahu dan seingat saya, tak pernah lagi saya memuat naik apa-apa kandungan video yang jelas-jelas melanggar hukum agama.

ASALKAN setiap perbuatannya tidak melanggar batas serta hukum agama, wanita yang menginjak usia 30 tahun itu mengakui malas mengendahkan sebarang kecaman netizen.

“Semua yang saya muat naik melibatkan kerja, kempen, promosi untuk lagu dan tak kurang juga sekadar hiburan untuk semua.

“Tak mungkinlah hidup ini semua nak serius dan dikawal orang,” katanya kepada Pose dalam satu pertemuan istimewa tempoh hari.

Dalam fikiran pucuk muda yang dibahasa ‘neng’ dalam kalangan peminat di Indonesia itu, adakalanya dia malas ambil pusing kata-kata nista orang terhadapnya.

Ambil positif

Beritahu Shima lagi, dek terlalu lama tidak menyambung kelana ke Indonesia, tanah yang membentangkan banyak punca rezekinya sejak lebih sedekad lalu, dia kini fokus mengendalikan karier di tanah air sendiri.

Justeru kata Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, media sosiallah yang menjadi platform utama dalam memastikan namanya kekal relevan di mata peminat.

“Rasanya kalau sebut saja nama saya, semua orang tahu siap ada yang gelarkan saya sebagai ‘ratu TikTok’. Ya perkara tersebut memang saya akui.

“Mahu atau tidak, saya memang kena terus aktif dalam media sosial, tak kiralah TikTok, Instagram, YouTube atau apa saja.

“Daripada situ jugalah saya buktikan yang saya masih wujud sebagai anak seni. Laman sosial jugalah tempat saya jana pendapatan untuk kerja seni saya sepanjang pandemik ini,” katanya.

SHIMA mengakui sudah lali dan terbiasa hidup dalam kecaman serta cacian netizen.

Sampai ke satu tahap, pelantun lagu Pura-Pura Bujang itu mengakui malas memikirkan apa kata orang. Cukuplah dia dan keluarga tahu apa yang diusahakan.

“Sekarang kalau nak buat apa-apa kandungan media sosial pun memang kena bersedia untuk dikritik. Semuanya harus kena di mata mereka. Tapi kadang-kadang saya malas nak fikir.

“Pada saya, apapun hentaman atau kritikan yang dilemparkan, saya ambil benda itu sebagai satu input secara positif selagi mereka tidak menyentuh sensitiviti serta nama baik keluarga.

“Lagi pun saya cuma buat kandungan yang ada mesej dan menghiburkan. Bukan yang sembrono dan langgar hukum hakam agama. Saya pun ada agama dan tahu batas. Kadang-kadang netizen saja yang lebih sudu daripada kuah,” ujarnya.

Hormat, perlahan

Tutup cerita kecam mengecam, Shima memberitahu, sepanjang bulan Ramadan yang sudah memasuki hari kelapan, semuanya baik-baik sahaja.

Kata anak kelahiran Masai, Johor itu, perjalanan seninya juga diperlahankan sepanjang Ramadan dan lebih fokus kepada kerja-kerja dari rumah.

“Sama juga macam tahun sebelum ini, cuma bezanya beberapa tahun sejak Covid-19 melanda, saya tak dapat nak puasa dan beraya di Indonesia.

“Sepanjang puasa ini, tak banyak aktiviti luar boleh saya kongsikan.

SEPANJANG Ramadan ini, Shima memperlahankan kerja-kerja seni dan menunggu sehingga usai Aidilfitri untuk kembali melunaskan segala agenda karier yang tertangguh.

“Bab kandungan dan video dalam laman sosial, sudah pasti saya akan muat naik yang baik-baik dan bersesuaian.

“Saya pun ada akal fikiran. Saya pun tahu hormati bulan baik lagi mulia, Ramadan ini. Tapi percayalah, pasti akan ada juga yang tak puas hati dan tetap ‘tembak’ saya,” tuturnya yang bakal melancarkan lagu raya tidak lama lagi.

Ditebak mengenai persiapan Aidilfitri yang mungkin masih terlalu awal, Shima sendiri belum membuat sebarang persiapan. Katanya, cukuplah raya nanti disambut dengan seringkas mungkin.

Sebagai rutin, Shima tetap akan pulang ke kampung halamannya di Johor Bahru bagi menyambut kedatangan Aidilfitri nanti.

“Nak kata cuti lama atau tidak, saya rancang untuk bercuti dan meluangkan masa bersama keluarga tersayang selama seminggu.

“Selepas itu, saya akan pulang ke ibu kota untuk meneruskan kerja-kerja seni seperti yang telah disusun dan dijadualkan termasuklah beberapa naskhah baharu yang bakal diperkenalkan nanti,” katanya menoktahkan bicara.

POPULAR