Passat R-Line versi dipertingkat yang telah dilancarkan awal tahun ini
mempunyai prestasi enjin yang dinaik taraf kepada 220PS dan tork tertinggi 350Nm, selain didatangkan dengan sistem audio premium Harman Kardon.
Jika dibandingkan dengan model Volkswagen Passat R-Line sebelum ini, ia hanya menghasilkan kuasa sebanyak 190 PS dengan tork maksimum 320 Nm,
Butang kawalan mod pemanduan sangat membantu untuk keserasian pemanduan mengikut kehendak pemandu berdasarkan keperluan.
——————————————————————————————————————————————————————–
VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) pada awal Januari lalu melancarkan model Passat R-Line yang telah dipertingkatkan.
Antara yang menerima naik taraf ituadalah prestasi kuasa maksimum enjin yang kini menjadi 220PS dan tork tertinggi sebanyak 350Nm.
Selaku memegang status sedan saiz sederhana paling laris di dunia, model itu kini hadir dengan sistem audio premium daripada jenama Harman Kardon.
Baru-baru ini penulis telah diberi peluang VPCM untuk memandu uji model itu yang menggunakan enjin turbo 2.0TSI.
Kereta sedan ini juga menggunakan transmisi enam kelajuan DSG yang mampu menawarkan pengalaman pemanduan dinamik.
Jika dibandingkan dengan model Volkswagen Passat R-Line sebelum ini, ia hanya menghasilkan kuasa sebanyak 190 PS dengan tork maksimum 320 Nm,
Butang kawalan mod pemanduan sangat membantu untuk keserasian pemanduan mengikut kehendak pemandu berdasarkan keperluan.

Ciri-ciri Dynamic Chasis Control (DCC) memberikan pemanduan yang mengujakan untuk pemandu.
Jangan tidak tahu, sepanjang enam hari saya memandu kereta ini, jarak perbatuan berjaya dicatatkan melebihi 800 kilometer (km) untuk satu tangki penuh bersaiz 66 liter.
Di atas kertas juga, Volkswagen ada memaklumkan bacaan pengunaan bahan api secara purata adalah 6.9 liter untuk perjalanan 100 km.
Pada pandangan penulis, bahagian luaran model ini tidak menerima perubahan yang banyak, selain logo baru Volkswagen.
Kit badan R-Line dengan rim rekaan Verona bersaiz 19 inci jelas memberikan imej menyerlah pada sudut luaran.
Ruang dalaman model yang di pasang di Pekan, Pahang ini menerima beberapa perubahan seperti unit kawalan pendingin hawanya kini menggunakan ciri-ciri sentuhan haptic.
Selain itu, sistem audio premium Harman Kardon dilengkapi dengan 12 unit pembesar suara yang mempunyai kuasa sehingga 700 watt (termasuk sebuah subwoofer) untuk menawarkan kualiti akustik yang padu dalam empat mod iaitu Pure, Chill Out, Live dan Energy.

Penulis juga difahamkan, model ini dibina atas kejayaan gabungan antara kelas dan prestasi yang menjadikannya sedan pilihan sofistikated yang berada dalam pasaran antarabangsa serta tempatan.
Volkswagen Passat R-Line hadir dengan lima pilihan warna seperti perak (scale silver), biru (aquamarine blue), dan kelabu (manganese grey), manakala warna hitam (deep black) dan putih (oryx white) ialah warna mutiara yang ditawarkan tanpa kos tambahan.
Antara ciri-ciri keselamatan yang ada pada model ini seperti blind spot monitoring system dengan rear cross traffic alert, proactive occupant protection system, automatic post collision brake system, rest assist, enam beg udara keselamatan, ISOFIX dan ESC.
Model ini ditawarkan pada harga bermula RM211,916.88.

Tanda harga itu juga hadir dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, di samping jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.
Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan kereta ini bukan sahaja seronok dipandu.
Ia turut menawarkan beberapa ciri canggih, tetapi kerana model ini seperti sudah hampir sempurna daripada aspek kuasa, praktikaliti (ruang simpanan luas), penjimatan bahan api dan sudah tentu rekaan luaran dan dalaman yang ada gaya.
















