fbpx

Kalau bukan sekarang ke masjid, bila lagi? – Saharul Ridzwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAHARUL RIDZWAN

PETALING JAYA – Kehadiran Ramadan mengingatkan semula pelakon, Saharul Ridzwan kepada pertemuan dengan seorang kenalan baharu yang menjentik hatinya untuk lebih mendekatkan diri dengan agama.

Luah pemilik nama lengkap, Mohd. Saharul Ridzwan Hashim, kata-kata individu tersebut menjadi titik tolak untuk dirinya belajar serta mendalami ilmu agama terutama menerusi penyertaan dalam jemaah tabligh.

“Sebenarnya pembabitan dengan aktiviti tabligh ini tercetus pada Ramadan tahun lalu apabila saya diperkenalkan dengan seorang peniaga bernama Amar yang menjual topi.

“Dia asalnya jurutera tetapi tinggalkan kerjaya bagi menjalankan kegiatan dakwah sambil berniaga, manakala saya pula ketika itu sedang tercari-cari bisnes bersesuaian untuk mengukuhkan ekonomi keluarga.

“Pada awalnya, saya fikir dia ingin saya promosikan produk, namun bukan itu tujuan Amar, sebaliknya sebelum berlalu dia menyatakan kami akan berjumpa lagi, suatu hari nanti kerana Allah.

“Ayat yang diluahkan secara bersahaja itu membuatkan saya tersentuh dan menerbitkan rasa sayu. Dari situ juga saya mula berjinak-jinak mendalami ilmu agama,” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.

Sejak insiden tersebut, bintang drama rantaian, Love You Mr Arrogant itu memperlahankan rentak dalam kerjaya seni selain memperbaiki diri dengan menyertai majlis agama dan lebih kerap solat berjemaah di masjid.

“Saya tak malu untuk mengakui sepanjang 10 tahun sibuk cari rezeki dalam arena ini, saya jarang pergi masjid.

“Alhamdulillah Allah masih sayangkan saya, berikan laluan supaya saya tersedar kembali kepada-Nya. Kalau bukan sekarang saya ke masjid dan belajar memperbaiki amalan, bila lagi?

“Memang banyak ilmu dan pengalaman baharu saya peroleh sepanjang mengikuti jemaah tabligh. Sekarang saya kenal pula rakan seperjuangan dalam industri nasyid,” tambahnya.

Saharul bersama isterinya, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir meraikan awal Ramadan di Tanah Suci dengan membawa harapan untuk mengenal nabi dan rasul dengan lebih dekat.

“Ini umrah kali kedua bersama isteri, manakala ikutkan buat saya kali ke-empat. Memang hajat di hati mahu mengerjakan haji tetapi ikut jadual saya dapat giliran ketika umur sudah mencecah 70 tahun.

“Tak tahu waktu itu saya sempat pergi atau tak. Bajet ikut rombongan swasta memang ada diusahakan tetapi masih bergantung kepada rayuan sebab ramai lagi yang tunggu. Kita doa saja dilancarkan urusan.

“Apa pun saya pasang dulu niat mengerjakan umrah ketika Ramadan sebab ustaz pernah maklumkan ganjaran pahala sama seperti kita mengerjakan ibadah ini bersama Rasullah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI