fbpx

Pengilang, pengimport pelitup muka wajib buat perakuan SIRIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bangunan SIRIM

PUTRAJAYA – Pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan diwajibkan membuat perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. berkuat kuasa 4 Julai depan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan, arahan itu dikeluarkan susulan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 hari ini.

Katanya, pewartaan itu bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang telah ditetapkan dalam perintah ini.

Menurutnya, penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat oleh pengguna.

“Dengan adanya penandaan MS SIRIM pada pelitup muka bukan perubatan menunjukkan ia telah mematuhi standard, berkualiti dan selamat digunakan.

“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh kementerian sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kegagalan mematuhi perintah itu boleh menyebabkan syarikat didenda sehingga RM200,000 atau RM500,000 bagi kesalahan kedua.

Bagi kesalahan individu pula, mereka boleh didenda RM100,000 atau dijel sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, individu tersebut boleh didenda RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI