fbpx
SAJIAN mi loka ini turut mengenyangkan kerana mengandungi mi dan pisang.

Mi loka pemanis mulut tradisi Negeri Sembilan gabungan mi, pisang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali tibanya bulan Ramadan, menu tradisi, mi loka air tangan pasangan kembar, Maznah Udin dan Maziran pasti akan dicari.

Bukan hanya ditempah keluarga sendiri, bahkan masyarakat setempat di Kampung Cheriau, Senaling, Kuala Pilah, Negeri Sembilan turut membuat tempahan kepada pasangan kembar berusia 63 tahun itu semata-mata kerana rasa rindu dan ingin mengimbau nostalgia menu tradisi masyarakat negeri tersebut.

Lebih manis lagi, kedua-dua mereka yang merupakan pengamal adat dengan gelaran Ibu Soko dan Buapak bagi Suku Seri Lemak Pahang Lingkungan berasa amat bertuah apabila menu tradisi itu masih diingati masyarakat setempat.

Menurut Maznah, masyarakat dahulu kala menjadikan mi loka berkenaan sebagai pemanis mulut ketika berbuka puasa bagi menggantikan kurma.

“Orang dahulu, susah juga mahu jumpa kurma untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Jadi, mereka buat menu mi loka ini sebagai pemanis sewaktu berbuka puasa.

“Mi loka ini amat digemari masyarakat di negeri ini terutamanya ‘orang lama’ kerana masakannya ringkas iaitu hanya menggunakan bahan mi siput, pisang nangka, gula enau, santan, gula dan pewangi semula jadi iaitu daun pandan,” katanya ketika ditemui K2 di Kampung Cheriau baru-baru ini.

Biarpun masakannya nampak mudah, tetapi air tangan pasangan kembar ini sering menjadi pilihan ramai.

MAZIRAN dan Maznah bersama mi loka air tangan mereka.

Secara ringkas, Maznah berkata, mi loka dihasilkan dengan air dididihkan bersama gula enau, gula dan daun pandan terlebih dahulu.

Kemudian, reneh ia seketika dan masukkan pisang yang dipotong serong diikuti mi siput. Selepas itu, masukkan santan dan kacau sehingga ia agak pekat seperti pengat.

Ujar Maznah lagi, selain dimakan begitu sahaja, mi loka juga boleh dicicah bersama roti mahupun pulut.

“Bila sudah dekat nak puasa (Ramadan), ramai yang mula bertanya dan ingin membuat tempahan untuk menu berbuka puasa atau moreh.

“Selain itu, ada banyak lagi juadah manis digemari masyarakat di negeri ini setiap kali tiba Ramadan seperti bubur pulut hitam, puteri mandi, kelopong dan kuih sopang,” katanya.

Tambah Maznah, kesemua menu itu masih mempunyai peminatnya walaupun saban tahun banyak juadah baharu lebih moden dengan elemen Barat diperkenalkan.

Bagaimanapun, menurutnya, senario berkenaan memberi sedikit kebimbangan kerana dikhuatiri menu tradisi seperti mi loka akan dilupakan atau langsung tidak dikenali generasi muda.

“Apapun, sebagai pengamal adat, kami sangat bertuah apabila pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program demonstrasi makanan tradisi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Menu tradisi ini kebiasaannya tidak dijual di pasar malam atau kedai-kedai, jadi ramai yang tidak kenal, namun sebagai pengamal adat, kita tidak boleh patah semangat,” ujarnya.

RAMUAN yang diperlukan bagi membuat mi loka yang merupakan juadah tradisi di Negeri Sembilan.

Menurutnya lagi, usaha LMNS itu nyata membuahkan hasil apabila orang muda sudah mula bertanya resipi dan cara penyediaan menu tradisi.

“Macam saya, tidak ada masalah hendak kongsikannya kerana saya percaya mereka ini kelak dapat mendidik anak masing-masing untuk mengenali menu tradisi masyarakat,” katanya.

Secara tidak langsung, menurut Maznah, menu tradisi berkenaan akan mampu diwarisi dari satu generasi ke satu generasi dalam mengekalkan menu yang kini sudah masuk ke generasi keempat itu.

Bagi Maziran pula, keistimewaan mi loka air tangan orang zaman dahulu sememangnya tidak boleh dilupakan kerana masyarakat pada masa itu mengekalkan keaslian setiap bahan yang digunakan.

“Contohnya pisang nangka ini, mereka peram dengan cara menutup dengan kain, bukannya menggunakan bahan tertentu yang membantu mempercepatkan proses pisang masak.

PISANG nangka dipotong secara serong untuk menyediakan menu unik ini.

“Malah, untuk gula enau pula, mereka langsung tidak campurkan dengan gula pasir menjadikan rasa gula enau ini lebih sedap berbanding dengan campuran,” katanya.

Menurutnya yang merupakan pesara tentera, orang dahulu kala juga menghasilkan menu makanan yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Bukan hanya sedap tetapi boleh memberikan rasa kenyang dalam tempoh yang lama. Macam mi loka ni ada campuran mi dan pisang.

“Mereka boleh bertahan dengan hanya menu ini dan kemudiannya baru menjamah nasi selepas pulang dari surau atau masjid untuk solat tarawih,” katanya.

Pada masa kini, katanya, mi loka boleh diumpamakan sebagai juadah cuci mulut dan manisan berbuka puasa.

“Ada manis-manisnya menyebabkan menu ini mengimbas nostalgia zaman dahulu. Ini ‘orang lama’ punya menu. Memanglah ia tidak dimakan setiap hari, namun dua kali seminggu dalam bulan Ramadan itu sudah menjadi kebiasaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN