KUALA PILAH – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabit kemalangan di kilometer lapan, Jalan Kuala Pilah-Tampin, di sini, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, Shah Rizal Shah Budin, 41, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd. Ghani, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS dalam perjalanan dari Kuala Pilah menghala ke arah Tampin.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa telah hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu terjatuh ke tebing yang berada di sebelah kiri jalan.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -KOSMO! ONLINE














