fbpx

Jerman terlalu kuat buat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA terpaksa menelan hakikat perit apabila kalah 0-10 kepada Jerman pada aksi Piala Dunia Hoki Remaja Wanita di Stadium NWU sebentar tadi. - FIH

KUALA LUMPUR – Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan Jerman apabila dibelasah 0-10 oleh Jerman pada aksi pertama Kumpulan D kempen Piala Dunia Hoki Remaja Wanita di Potchefstroom, Afrika Selatan sebentar tadi.

Ketua jurulatih skuad hoki projek khas wanita negara, Nasihin Nubli Ibrahim turut mengakui kemampuan Jerman yang merupakan antara pasukan terbaik dari benua Eropah dan juga dunia.

Bagaimanapun, Nasihin tetap memuji barisan pemainnya kerana tetap melancarkan serangan ke arah gawang bekas juara edisi pertama itu meskipun tewas dengan keputusan yang agak besar di Stadium NWU.

“Ini adalah satu pengalaman berharga buat kami dapat menentang Jerman yang semua orang tahu satu pasukan hebat.

“Kami tidak hanya bertahan tetapi tetap cuba melakukan serangan. Namun, hari ini kami kurang disiplin dari segi teknikal dan taktikal.

“Kami harap dapat beraksi lebih baik untuk aksi seterusnya. Saya juga sudah beritahu pemain supaya fokus dan tetapkan semula minda mereka kepada apa yang kami mahu capai di sini,” katanya selepas tamat perlawanan.

BARISAN pemain Jerman meraikan kejayaan mereka menewaskan Malaysia di Stadium NWU sebentar tadi. – FIH

Malaysia ketinggalan empat gol dalam 30 minit pertama menerusi ledakan hatrik Aina Kresken pada minit keenam, 10 dan 22 serta satu jaringan daripada Lily Stoffelsma (m-23).

Jerman membuktikan kehebatan mereka apabila menambah enam lagi gol menerusi Jette Fleschutz (m-40), Sara Strauss (m-41), Stoffelsma (m-43), Jule Bleuel (m-47), Verena Neumann (m-54) dan Sophia Schwabe pada minit ke-60.

Esok, Malaysia akan meneruskan aksi kedua Kumpulan D menentang Wales yang tewas 1-5 kepada India sebentar tadi, manakala Jerman bakal berdepan India.

Sebagai rekod, ini adalah penampilan kali pertama Malaysia di pentas Piala Dunia Hoki Remaja Wanita sejak kejohanan itu mula diadakan di Ottawa, Kanada pada 1989. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI