fbpx

Dari Mahkamah Syariah: Ibu tidak restu anak kahwini janda, usia lebih tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PERKAHWINAN di antara Amir dan Yasmin (bukan nama sebenar) cukup unik memandangkan mereka berdua dipisahkan dengan perbezaan usia yang agak ketara.

Sewaktu mereka mendirikan rumah tangga, Amir baru saja menjengah usia 26 tahun sementara Yasmin pula berumur 39 tahun yang juga berstatus janda anak seorang.

Perbezaan umur yang agak ketara iaitu 13 tahun itu telah mendorong pergolakan rumah tangga pasangan tersebut sehingga membawa kepada perceraian mereka baru-baru ini.

Menurut Amir, perkenalannya dengan Yasmin bermula ketika sama-sama terlibat menjayakan sebuah acara kebudayaan yang diadakan di luar ibu kota.

Jelasnya, perkenalan itu membawa kepada bibit cinta meskipun Yasmin merahsiakan status sebenarnya yang merupakan seorang janda anak seorang.

“Saya kenal Yasmin ini ketika sama-sama terlibat menjayakan acara kebudayaan di Johor Bahru. Dia merupakan seorang penari kebudayaan yang cukup aktif.

“Kalau tengok daripada susuk tubuh dan raut wajahnya memang saya tidak sangka dia jauh lebih berusia daripada saya. Mungkin disebabkan rutin latihan tarian yang agak ekstrem buat dia nampak muda.

“Pada awal perkenalan, Yasmin merahsiakan statusnya yang merupakan seorang janda. Saya pun tidak sangka dia pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia lima tahun,” katanya.

Amir memaklumkan, dia mengetahui status sebenar Yasmin selepas terlihat kelibat seorang kanak-kanak lelaki di dalam satu gambar yang dimuat naik dalam media sosial.

Meskipun telah mengetahui status sebenar, namun rasa cinta Amir terhadap Yasmin tidak pernah kurang sedikit pun. Sebaliknya, dia kekal dengan hasratnya memperisterikan Yasmin.

Malangnya, hasrat Amir memperisterikan Yasmin mendapat tentangan hebat daripada ibunya dengan alasan hubungan mereka tidak akan kekal lama disebabkan perbezaan umur dan status.

“Ibu saya merupakan orang yang paling kuat menentang. Dia bantah kerana saya patut berkahwin dengan wanita bujang yang jauh lebih muda daripada Yasmin.

“Tetapi disebabkan cinta, saya perlahan-lahan pujuk dan meyakinkan ibu. Saya tahu ibu tidak bersetuju, tetapi saya tetap dengan pendirian untuk berkahwin dengan Yasmin,” katanya.

Pada peringkat awal perkahwinan mereka segalanya tampak lancar, sehinggalah Yasmin disahkan mengalami keguguran disebabkan usianya yang sudah lanjut.

Jelas Amir, perkara tersebut membuatkan ibu mula mempersoalkan tindakannya memperisteri wanita lanjut usia yang sudah tidak mampu memberi zuriat.

“Persoalan ibu itu saya buat tidak tahu sahaja. Lumrah naluri seorang ibu sentiasa inginkan yang terbaik buat anaknya. Malangnya, persoalan dilontarkan oleh ibu sampai kepada pengetahuan Yasmin.

“Jadi, Yasmin mula terasa hati dan meminta saya supaya segera berkahwin dengan wanita lain lebih muda yang mampu memberi cucu segera kepada ibu,” katanya.

Rentetan itu, hubungan mereka mula berantakan disebabkan sikap ibu yang seolah-olah tidak pernah merestui hubungan mereka meskipun sudah lebih setahun mendirikan rumah tangga.

“Keadaan ini juga menyebabkan Yasmin mula bermasam muka di depan ibu dan enggan lagi pulang ke kampung. Saya betul-betul jadi serba salah.

“Saya rasa tersepit di antara dua insan yang sangat dikasihi tetapi saya tidak boleh terima sikap Yasmin yang enggan pulang melawat ibu di kampung.

“Ibu tinggal seorang diri di kampung. Lagi pula, saya seorang sahaja anak lelaki dalam keluarga ini. Jadi, saya perlu buat pilihan agar ibu tidak terus terasa hati,” terangnya.

Selepas berfikir panjang, Amir mengambil keputusan cukup sukar dalam hidupnya iaitu berpisah secara baik dengan Yasmin meskipun masih menyayangi isterinya itu.

Amir telah melafazkan talak di depan hakim mahkamah sekali gus berjaya meleraikan konflik yang berlaku disebabkan perkahwinannya dengan Yasmin selama ini.

“Saya masih sayangkan Yasmin, namun berpisah merupakan jalan penyelesaian terbaik. Saya tidak mahu ibu dan Yasmin terus tertekan disebabkan perkahwinan ini,” ulasnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI