fbpx

Polis tumpas kegiatan perlombongan bitcoin haram di Mentakab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azhar (depan) menunjukkan barang rampasan kegiatan perlombongan bitcoin secara haram di Mentakab dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Temerloh di Temerloh hari ini.

TEMERLOH – Polis berjaya menumpaskan kegiatan perlombongan bitcoin secara haram selepas menahan dua lelaki dalam serbuan di sebuah premis di kawasan Star City di Mentakab kelmarin.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisoner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 8 malam itu polis berjaya merampas 82 unit mesin bitcoin, satu set komputer jenama Lenovo dan pelbagai peralatan lain yang digunakan untuk aktiviti berkenaan.

“Anggaran nilai rampasan dalam serbuan ini adalah kira-kira RM420,000 yang mana kerugian ditanggung pihak Tenaga Nasional Berhad pula adalah sebanyak RM125,000 iaitu hasil daripada aktiviti perlombongan wang digital secara haram.

“Dua lelaki berkenaan yang berumur 30 dan 38 tahun ditahan reman selama empat hari di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Temerloh di sini hari ini.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati aktiviti perlombongan bitcoin haram berkenaan dilakukan sejak tiga bulan lalu dan pendawaian elektrik di premis itu dilakukan individu yang mahir dalam pendawaian elektrik.

Sementara itu Mohd. Azhar berkata, pihak polis sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dalam usaha bersama membanteras kegiatan jenayah dan berharap orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Pihak polis menasihatkan orang awam yang memiliki premis untuk disewa agar menyelidik dan mengenal pasti identiti individu yang ingin menyewa premis mereka agar tidak digunakan untuk aktiviti menyalahi undang-undang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI