fbpx

Tindakan drastik diperlukan bagi tangani isu kelewatan pekerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kerajaan digesa mengambil tindakan drastik bagi memastikan kemasukan pekerja asing dapat dilakukan pada kadar segera.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. N. Sukumaran berkata, ramai dalam kalangan majikan telah memohon pekerja asing sejak awal bulan ini, namun masih tidak tahu jangka masa permohonan tersebut akan diluluskan.

“Ada juga yang terjejas akibat Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang menjadi antara syarikat kelulusan permohonan tersebut.

“Ahli-ahli PAPSA terjejas teruk dengan kelewatan kemasukan pekerja asing. Pihak industri tidak mampu mengeluarkan produk dan ramai kehilangan perniagaan akibatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sukumaran, antara industri yang terjejas teruk akibat kelewatan kemasukan pekerja asing adalah perladangan terutamanya ladang kelapa sawit.

Katanya, ramai peladang menyaksikan hasil tanaman mereka tidak dapat dituai pada waktu yang tepat sehingga ia akhirnya rosak dan terpaksa dilupuskan begitu sahaja.

“Ratusan majikan berasa kecewa dan sudah mula berhenti beroperasi kerana tidak mampu mengeluarkan hasil seperti dituntut dalam kontrak dengan pelanggan antarabangsa mereka,” katanya.

Ujar beliau, keadaan bertambah buruk apabila Indonesia turut mengambil langkah memanggil semula kebanyakan warganya yang bekerja di Malaysia agar mereka dapat bekerja di negara itu.

Jelasnya, di Kikim Selatan, Sumatera sahaja mengalami kekurangan 100,000 pekerja, bahkan mereka turut memerlukan tenaga kerja bagi menjalankan pembinaan ibu negara baharu di Kalimantan.

“Bangladesh juga memerlukan lebih 100,000 pekerja dalam industri tekstil dan pembuatan, bahkan gaji ditawarkan juga berpatutan selain lain-lain manfaat setanding dengan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya bersama Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Malaysia Agensi Pekerjaan telah bertemu dengan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmad baru-baru ini.

Menurutnya, Imran mencadangkan agar satu pertemuan Kumpulan Kerja Bersama (JWG) dilaksanakan bagi membincangkan perkara berkaitan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kerajaan dan Bangladesh.

“Beliau juga bersetuju untuk bertemu dengan pegawai kerajaan bagi membincangkan isu pengambilan pekerja asing tersebut.

“Pasaran bagi pekerja asing dari Bangladesh ketika ini termasuklah di Korea Selatan, Jepun, Hong Kong dan negara Timur Tengah, melibatkan lebih 100,000 pekerja terlatih,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI