fbpx

Padah langgar SOP, 108 individu dikompaun RM108,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis mengeluarkan kompaun ke atas 108 individu berjumlah RM108,000 ketika serbuan ke sebuah premis hiburan di Cheras Business Centre, Cheras dekat sini malam tadi.

KUALA LUMPUR – Angkara melanggar prosedur operasi standard (SOP), seramai 108 individu dikenakan kompaun RM108,000 ketika serbuan polis ke sebuah premis hiburan di Cheras Business Centre, Cheras dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah telah menyerbu premis berkenaan sekitar pukul 12.15 tengah malam.

“Operasi dijalankan selepas pihak polis menerima maklumat bahawa pusat hiburan berkenaan beroperasi tanpa lesen yang sah dan berlaku pelanggaran SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, seorang lelaki tempatan yang merupakan pengurus premis serta dua lelaki warga asing ditahan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah termasuk menjual minuman keras tanpa lesen yang sah, menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah dan bekerja tanpa permit yang sah.

“Kesemua suspek yang ditangkap berumur dalam lingkungan 26 hingga 42 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan pemeriksa turut mengeluarkan kompaun ke atas 108 individu mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 kerana terlibat dengan aktiviti hiburan.

“Beberapa peralatan hiburan turut dirampas iaitu digital echo AV amplifier (1), pembesar suara (1), mikrofon tanpa wayar (2) dan minuman keras pelbagai jenama (5 botol),” ujarnya.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992, Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Imigresen 1959 (Pin 2002). – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI