fbpx

13,770 calon berjaya ditawarkan jadi guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA- Seramai 13,770 calon berjaya ditawarkan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 menerusi pengambilan khas Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengisi kekosongan guru sekolah seluruh negara.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sehingga semalam, seramai 13,255 guru baharu berjaya ditempatkan diseluruh negara manakala baki sebanyak 515 lagi akan ditempatkan mulai 11 April 2022.

“Berdasarkan status terkini, masih terdapat 4,932 kekosongan jawatan di bawah pengambilan khas ini yang perlu diisi oleh calon-calon yang layak.

“KPM yakin pengambilan guru secara one-off ini adalah salah satu usaha untuk mengatasi masalah kekurangan guru di seluruh negara,” katanya di Dewan Negara di sini tadi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang mahu mengetahui status pelantikan guru secara “one-off” yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Katanya, KPM akan terus meneliti dan berbincang dengan agensi pusat bagi mencari kaedah dan pendekatan terbaik bagi mengisi lebih banyak kekosongan guru dari semasa ke semasa.

“KPM telah memperkenalkan kaedah Kluster Mata Pelajaran bagi pengambilan itu agar dapat membuka peluang lebih ramai graduan memohon berdasarkan pemetaan ijazah sarjana muda dengan mata pelajaran yang bersesuaian.

“Graduan yang memiliki bidang pengkhususan utama tertentu boleh memohon untuk mengisi kekosongan mata pelajaran lain yang dikategorikan dalam kluster yang sama,” jelasnya.

Menurut Radzi, keutamaan juga akan diberikan kepada graduan yang mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan daripada universiti awam, universiti swasta dan universiti luar negara untuk dilantik secara tetap.

“Selain daripada itu, calon juga perlu memenuhi syarat skim perkhidmatan, memenuhi padanan Kluster Mata Pelajaran dan berjaya dalam temu duga SPP.

“Temu duga tersebut menilai kompetensi umum seperti sikap, penampilan diri, pengetahuan am dan kompetensi fungsional seperti kandungan mata pelajaran dan pedagogi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI